Thursday 4 January 2018

UMNO Pulau Pinang Buat Laporan Polis Terhadap Tun Mahathir


BUKIT MERTAJAM: UMNO Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengeluarkan beberapa kenyataan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, berkata pihaknya mahu polis menjalankan siasatan terhadap kenyataan Dr Mahathir yang disifatkan berbahaya kerana mempengaruhi rakyat untuk turut serta menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata, kenyataan terbabit begitu serius, selain cara yang digunakan untuk menjatuhkan Najib itu adalah tidak demokratik.

"Jika diteliti kenyataan Dr Mahathir ia boleh menggugat keamanan negara apatah lagi ia datang daripada mantan Perdana Menteri yang memegang jawatan itu selama 22 tahun.

"Justeru, kita mahu polis menyiasat dan ambil tindakan terhadap semua kenyataan beliau mengikut undang-undang sedia ada," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini, hari ini.

Musa berkata, beliau kesal terhadap tindakan pemimpin yang suatu ketika dahulu sangat disayangi ahli UMNO namun kini bertindak menghancurkan parti keramat untuk orang Melayu.

"Tun (Dr Mahathir) sepatutnya balas budi UMNO dan bukan menghancurkan UMNO dengan mengeluarkan kenyataan seperti itu.

"Fikirlah, orang UMNO juga mempunyai perasaan dan sekarang biarlah rakyat sendiri yang menilai, manakala Tun (Dr Mahathir) pula hentikanlah fitnah yang boleh mengkucar-kacirkan keamanan negara," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment