Monday 22 January 2018

UMNO Tak Rasa Tergugat


Tasek Gelugor - Umno Tasek Gelugor tidak sesekali berasa tergugat dengan kehadiran sesiapa saja calon Pakatan Harapan yang bakal bertanding di parlimen itu pada PRU14 akan datang.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya berkata, keputusan Pakatan Harapan menentukan calon untuk bertanding dalam parlimen itu merupakan hak mereka dan ia sesekali tidak menggoyahkan Umno di sini.

Menurutnya, apa yang diyakini ini berdasarkan khidmat dan kerja yang dilakukan oleh Umno di parlimen ini yang mana mendapat kepercayaan rakyat sejak dahulu lagi.

"Sebab di sini kita telah beri perkhidmatan sejak lebih 30 tahun dan belum pernah lagi ada parti politik selain BN," katanya.

Malah katanya, di Tasek Gelugor, Umno mempunyai kelebihan lebih baik kerana kemajuan dan kebajikan penduduk sudah diambil berat serta diambil peduli.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan di Pasar Awam Tasek Gelugor dan penyerahan unit kereta sorong kepada peniaga kecil di sini semalam.

Shabudin berkata, apa yang penting adalah mana-mana pihak selain Umno dan BN yang berkempen belum pernah membuktikan apa yang mereka lakukan di parlimen ini.

"Kalau ada mana-mana pihak yang cuba datang untuk bertanding dalam kawasan ini dan cuba menceritakan itu dan ini, mereka belum pernah membuktikan apa yang mereka buat dan ceritakan mereka akan buat itu dan ini.

"Dalam masa yang sama kita pun tak pasti adakah mereka akan boleh buat kerana keupayaan dan peluang untuk mereka menang peringkat nasional serta negeri pun menimbulkan pertanyaan, kalau mereka tak menang di peringkat nasional macam mana mereka nak dapat peruntukan?," katanya.

Tambahnya, dalam soal ini jelas sekali ia menunjukkan bahawa mereka cuba menawarkan janji palsu kepada masyarakat.

"Mereka tak ada peruntukan, jadi janji mereka kepada penduduk, kepada orang di parlimen ini adalah janji palsu.

"Namun berbeza dengan Umno, di mana kita telah hampir 30 tahun terbukti bawah kerajaan BN, kita telah sediakan segala keperluan yang diperlukan penduduk dalam parlimen Tasek Gelugor ini," katanya.

Malah katanya, dengan rekod gerak kerja dan usaha Umno di sini, pihaknya yakin masyarakat akan terus memberikan sokongan.

"Saya yakin dan percaya pengundi akan yakin serta memberikan sokongan dan kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku pengerusi BN dan presiden Umno.

"Saya juga yakin dengan kehadiran parti lain untuk bertanding di kawasan ini kita ambil tahu dan saya yakin ia bukan satu benda yang boleh menyebabkan kita kehilangan kerusi ini," katanya. - Sinar

0 comments:

Post a Comment