Monday 12 February 2018

400 Penunggang Motosikal Terima Manfaat Petrol Percuma


BUTTERWORTH - Menyedari hakikat kos sara hidup yang semakin meningkat, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh tampil meringankan beban rakyat dengan memberikan sumbangan petrol percuma kepada kira-kira 400 penunggang motosikal.

Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata program itu dilaksanakan bagi membantu golongan anak muda di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya.

"Program sumbangan petrol kepada 400 buah motosikal ini adalah sumbangan berkala yang kita diadakan, dua atau tiga bulan sekali oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh.

Ini kali yang ketiga, selalunya kita buat di Penanti dan Permatang Pasir, tapi kali ini kita buat di DUN (Dewan Undangan Negeri) Seberang Jaya ini sebab di sini ramai anak-anak muda yang hidup di bandar yang lebih memerlukan kita rasa,"katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu di Stesen Minyak Petron Seberang Jaya di sini hari ini.

Katanya pihaknya akan mengadakan program seumpama itu dengan lebih kerap lagi di masa akan datang dalam usaha membantu rakyat.

Sementara itu berkongsi pandangan berhubung program itu kepada Bernama, Siti Nuraishah Shamsul, 18, menyifatkan program sumbangan berkenaan perlu diteruskan memandangkan rakyat kini berdepan dengan cabaran ekonomi dan menuntut perbelanjaan tinggi bagi urusan kehidupan.

"Saya amat bersetuju dengan program ini yang diadakan. Saya amat berharap program sebegini diteruskan ditambah pula dengan harga minyak yang tidak menentu, adakala harga minyak naik, jadi bantuan seperti ini sangat diperlukan kami golongan rakyat,"kata pelajar Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia itu.

Sementara itu pekerja kilang Norhisham Ali, 41, turut menyuarakan nada yang sama seperti Siti dan berharap program seumpama itu diteruskan agar kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

"Saya bersyukur dengan pemberian petrol percuma ini dan harap ia diteruskan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami,"katanya.

Seorang lagi pekerja kilang Mohd Ikhwan Omar, 35, berkata sumbagan petrol terbabit dapat membantu golongan yang berpendaptan rendah.

"Ia dapat mengurangkan bebanan dan masalah kami golongan bawahan bila ada sumbangan seperti ini .Apatah lagi zaman sekarang yang sangat mencabar dengan segala peningkatan,"katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment