Tuesday 20 February 2018

Azmin Wajib Jawab, Berhenti Salahkan UMNO – Shahril


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali perlu berhenti menyalahkan UMNO dalam isu tanah di Ijok sebaliknya beliau perlu menjawab dengan jelas persoalan yang ditimbulkan oleh orang ramai termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata sehingga hari ini Azmin masih belum menjawab secara terus persoalan yang ditimbulkan, sebaliknya beliau menggunakan pegawai-pegawainya untuk menjawab isu ini.

Menurut beliau isu berkenaan adalah isu serius yang melibatkan kepentingan 987 orang peneroka khususnya dan kepentingan rakyat Selangor kerana melibatkan transaksi jual beli tanah lebih RM1.18 billion.

“Tindakan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Azmin Ali yang melakukan penyelesaian dengan syarikat-syarikat pemaju berkaitan sebelum ianya didengari di Mahkamah Persekutuan tanpa alasan yang kukuh adalah sangat meragukan.

“Peneroka-peneroka juga sepatutnya mendapat pampasan yang lebih tinggi daripada syarikat-syarikat pemaju tersebut sesuai dengan harga tanah semasa bukannya pampasan dengan nilai yang sama dijanjikan pada 20 tahun yang lepas,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Katanya lagi jika ini semua salah UMNO, Azmin sepatutnya menggunakan peluang berhujah di Mahkamah Persekutuan bagi pihak peneroka, bukannya memberi semula tanah kepada syarikat-syarikat pemaju tersebut yang jelas menerima keuntungan besar daripada keputusan kerajaan Selangor melakukan penyelesaian bersama-sama.

“Adakah ini kerana “kroni” tersebut kini sudahpun bersama-sama pembangkang seperti yang didedahkan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini?

“Saya menggesa Azmin Ali untuk menjawab isu ini dengan telus tanpa berselindung melalui pegawai-pegawai beliau. Saya juga berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan rapi sekiranya ada berlaku penyalahgunaankuasa berkaitan isu ini,” katanya. - Umno Online

0 comments:

Post a Comment