Wednesday 28 February 2018

Balik Pulau Terus Membangun Bersama BN


BALIK PULAU 27 Feb. - Jika saiz dijadikan ukuran, Balik Pulau boleh dianggap sebagai kerusi Parlimen pa­ling besar di Pulau Pinang ketika ini.

Sinonim dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sejak 1974, kerusi tersebut bagaimanapun pernah 'terlepas' ke tangan PKR menerusi calonnya, Yusmadi Yusoff pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kira-kira 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, kembalinya Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya yang pernah memenangi kerusi itu 14 tahun lalu memberikan 'nafas baharu' terhadap pembangunan di kawasan Parlimen Balik Pulau yang dianggap bandar pertanian utama di negeri ini.

Dr. Hilmi sebenarnya bukanlah asing dalam kalangan pengundi Parlimen Balik Pulau khasnya dan penduduk Pulau Pinang amnya.

Pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang selama tiga penggal sejak awal 90-an, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Malaya (UM) itu juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika era bekas Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon.

Ketika ditemui baru-baru ini, beliau bagaimanapun meluahkan rasa kecewanya terhadap kepe­mimpinan kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat tidak begitu cakna khususnya dalam isu melibatkan pembangunan dan perumahan rakyat di sini.

“Dalam tempoh 10 tahun ini (memegang kerajaan Pulau Pi­nang), saya tidak nampak satu pun ‘pembangunan sebenar’ yang dia (DAP) buat untuk rakyat.

“Yang saya nampak cumalah pembinaan rumah-rumah kos tinggi yang tidak mampu dibeli oleh sebahagian besar penduduk di sini. Di Balik Pulau sebagai contoh, rumah yang dibina ada yang mencecah RM1 juta atau lebih," katanya.

Tambah Dr. Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, pembangunan yang tidak dirancang dengan baik oleh kerajaan negeri juga menjejaskan alam sekitar khususnya di Balik Pulau.

“Sebelum ini, setiap kali hujan lebat atau banjir, kita hanya melihat air jernih turun dari kawasan bukit.

“Namun, ketika ban­jir besar baru-baru ini, yang turun dari kawasan bukit ialah air tanah yang berwarna merah dan saya percaya ini berlaku akibat penebangan pokok dan penarahan bukit di kawasan kita,” katanya.

Apa yang lebih dikesalkan, kata beliau, meskipun masalah itu semakin menghimpit penduduk, namun Ke­rajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah ti­dak mengambil peduli kerana tiada sebarang tindakan susulan diambil.

Ujar Dr. Hilmi, meskipun berdepan beberapa kesukaran kerana Pulau Pinang ditadbir DAP, Balik Pulau sebenarnya kekal membangun di bawah Kerajaan Persekutuan atau BN.

Katanya, selain membina dan membangunkan projek rumah mampu milik untuk penduduk setempat, beberapa projek lain termasuk klinik kesihatan juga sedang dirancang dibangunkan di Balik Pulau demi memastikan kesihatan penduduk terjamin.

Ketika ini, Parlimen Balik Pulau dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah­nya iaitu Teluk Bahang, Bayan Lepas dan Pulau Betong masih dianggap sebagai kubu kuat BN kerana majoriti pengundi di situ berketurunan Melayu yang dahagakan kemajuan dan pemba­ngunan seimbang.

Walaupun pelbagai isu dimainkan pembangkang dalam usaha memancing undi menjelang PRU-14, rata-rata penduduk di sini dilihat lebih selesa berada di bawah naungan UMNO dan BN yang dilihat sentiasa 'bersama' rakyat pada setiap masa. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment