Permatang Pauh - UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah lagi dalam perang siber dengan pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sehubungan itu, jentera IT dan media sosial yang dilantik di setiap 191 Bahagian Parlimen perlu memainkan peranan aktif dalam menghadapi serangan balas pihak lawan.
"Barisan Nasional sebelum ini dituduh kalah dengan 'Red Bean Army' dalam alam maya. Sebab itu kita mahu jentera kita ini mendedahkan kepalsuan dan berita fitnah serta menangkis segala dakwaan tidak benar," katanya selepas Program Taklimat kepada Jawatankuasa Biro IT UMNO Bahagian Permatang Pauh, Bagan dan Bukit Mertajam, di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dengan tertubuhnya biro IT di semua kawasan kira-kira setahun setengah yang lalu, ia dapat menangkis segala tuduhan liar yang sering dilemparkan terhadap parti itu.
"Pada PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) lepas, antara fitnah paling utama ialah 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi BN. Ini disebutkan oleh Keadilan Daily dan terus tular dalam media sosial. Kemudian timbul isu kononnya dakwat pada jari boleh dikikis. Siapa yang buat tuduhan ini? Bukan BN.
"Justeru, dengan dengan penubuhan biro tersebut pada PRU14 ini, kita dapat melawan sebarang serangan siber dan menjelaskan kebenaran," katanya.
Selain itu, berhubung Rang Undang-Undang Akta Berita Palsu yang akan dibentangkan di Parlimen Mac ini, Ahmad berkata UMNO dan BN menyokong penuh akta berkenaan.
"UMNO dan BN tidak bankrap isu. Hanya orang yang bankrap isu dan penyebar fitnah sahaja tidak suka rang undang-undang ini. Kami (BN) ada banyak cerita yang hendak dikongsi dan sebarkan," katanya. - Bernama
0 comments:
Post a Comment