Thursday 15 February 2018

BN Dan Najib Miliki Kelebihan Dalam PRU14 – Penganalisis


KUALA LUMPUR, 14 Feb – Parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jelas memiliki kelebihan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang, menurut dua penganalisis politik terkemuka negara.

Prof Madya Dr Jeniri Amir daripada Universiti Malaysia Sarawak berkata sentimen pengundi terhadap barisan pembangkang Pakatan Harapan, menurun sejak setahun kebelakangan ini, sementara krisis dalaman antara parti-parti komponennya, terutama dari segi pengagihan kerusi akan memburukkan lagi keadaan menjelang hampirnya PRU yang dijangka diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Prof. Dr. Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia berkata pakatan pembangkang yang dilihat semakin rapuh kini dengan PAS bertanding bersendirian kali ini berbanding sebuah pakatan yang lebih bersatu menentang BN dalam dua pilihan raya umum lepas, tidak akan ada pertandingan satu lawan satu di kebanyakan kawasan pilihan raya dan sentimen pengundi akan menghadiahkan kelebihan kepada BN.

“Dari satu segi, persepsi pengundi dan pendapat rakyat terhadap kerajaan semakin baik kerana komitmennya menyelesaikan masalah rakyat seperti perumahan, ekonomi, kos kehidupan dan peluang pekerjaan,” kata DrJeniri.

“Saya amat percaya Najib akan menerajui BN dengan kemenangan yang selesa kali ini walaupun menghadapi serangan bertubi-tubi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang. Berbanding beberapa tahun sebelum ini, BN dan Najib kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk dipilih semula,” katanya.

Dan dengan undi pembangkang berpecah antara PAS dan Pakatan Harapan, BN terutamanya UMNO, akan memenangi sebahagian besar daripada kerusi luar bandar dan oleh itu akan menang pilihan raya, kata penganalisis itu.

“Malah BN mempunyai peluang yang baik untuk memperoleh semula majoriti dua pertiga dengan pertandingan tiga penjuru kini dijangkakan berlaku dalam PRU14 dan rang undang-undang persempadanan semula kawasan pilihan raya akan diluluskan di Parlimen bulan depan,” kata Dr Jeniri.

Keyakinannya terhadap peluang BN mendapat semula majoriti dua pertiga kedudukan dalam Parlimen yang terlepas daripada parti pemerintah dalam pilihan raya 2008 dan 2013 jelas dilihat melalui tinjauan pendapat umum yang diadakan baru-baru ini oleh Merdeka Center, sebuah badan pungutan suara bebas .

Lagipun penganalisis itu dan Merdeka Center menegaskan bahawa BN hanya kekurangan 13 kerusi untuk mendapat majoriti dua pertiga.

Prof. Sivamurugan berkata BN menjadi semakin kuat sejak 2015 selepas berlaku sedikit krisis kepimpinan dalam UMNO apabila Najib terpaksa menggugurkan Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden parti Datuk Seri Shafie Apdal daripada Kabinet.

“Perdana menteri telah mengukuhkan kedudukannya sejak itu, berasaskan sokongan kuat dalam UMNO sendiri,” katanya.

Beliau mengakui bahawa undi Melayu dalam PRU14 akan menyaksikan perpecahan kepada lima pihak UMNO, PKR, PAS, Amanah dan PPBM, bagaimanapun UMNO masih mempunyai kelebihan terutama di kawasan luar bandar yang merupakan sebahagian besar daripada 222 kerusi Parlimen.

Prof. Sivamurugan berkata Sabah dan Sarawak akan tetap menjadi benteng dan deposit tetap penyokong BN seperti yang mereka lakukan dalam dua pilihan raya umum lepas, diperkuatkan dengan imej baik Najib di kedua-dua negeri strategik dari segi politik ini, kerana perdana menteri jelas begitu mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka.

Dr Jeniri bersetuju, dan berkata dengan kedua-dua negeri ini masih sebahagian besarnya pendalaman, naratif politik pembangunan masih relevan di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak, sambil menambah, semasa pilihan raya, pengundi luar bandar masih menitik beratkan isu-isu asas.

“Saya amat percaya adalah mustahil untuk memenangi pilihan raya umum di Malaysia tanpa menang di Sabah dan Sarawak serta kerusi pedalaman,” katanya.

Tambahan pula di sebalik serangan berterusan Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang lain yang mengekspolitasi isu 1MDB, ia tidak menarik dan memberi kesan dalam kalangan pengundi di kawasan luar bandar, kata Dr Jeniri.

Beliau berkata seperti dalam tahun 2008 dan 2013, pembangkang sekali lagi menunjukkan imej yakin mereka saat-saat menjelang pilihan raya, namun realitinya semakin hampir PRU, keadaan parti-parti komponennya menjadi bertambah rumit berbanding sebelum ini.

“Ini kerana parti-parti pembangkang tidak nampak dapat menghampiri usaha mengadakan pakatan pilihan raya. Malahan mereka masih berbalah mengenai pengagihan kerusi,” kata Dr Jeniri.

Dr Jeniri melihat bahawa PRU14 lebih kepada pilihan antara sebuah negara yang dipimpin Najib atau Dr Mahathir , yang kini mengetuai barisan Pakatan Harapan.

“Adakah anda mahu mengatakan rakyat Malaysia ingin diperintah oleh seorang pemimpin berusia 93 tahun yang telah diberi peluang oleh BN dan UMNO untuk memimpin negara selama 22 tahun? Apakah yang beliau boleh lakukan untuk tempoh setahun dua lagi sebagai PM? soal Dr Jeniri.

“Untuk membawa Malaysia menuju ke hadapan, para pengundi perlu memilih dengan bijak. Kepentingannya tinggi dan ini bukan suatu permainan atau eksperimen. Tiada gunanya menyesali apa yang telah berlaku selepas itu. Cuba lihat kes Brexit (Britain) dan juga pengundi Amerika terhadap Donald Trump. Mereka kini menyesal tetapi nasi sudah menjadi bubur.

“Ädakah mereka mahu kembali kepada era Dr Mahathir atau mereka ingin dipimpin oleh seorang ketua yang berwawasan dan dinamik, yang komited untuk membawa Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang lagi,” katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment