Thursday, 8 February 2018

Istana Kelantan Lucut Darjah Kebesaran Mahathir


Istana Kelantan dilaporkan menarik balik darjah kebesaran yang dikurniakan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Memetik laporan Malaysiakini, penarikan balik pingat kebesaran itu dimaklumkan melalui sepucuk surat bertarikh 6 Februari lalu dan dihantar ke rumah Pengerusi PH itu di Seri Kembangan.

Portal itu menyebut pingat yang ditarik balik itu ialah Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi yang dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra dalam satu istiadat di Istana Balai Besar, pada 2002.

Difahamkan Dr Mahathir sedang dalam proses menyerahkan semula pingat berkenaan.

Bagaimanapun, Istana Kelantan belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penarikan darjah kebesaran Dr Mahathir.

Semalam, Sultan Muhammad V yang juga Yang Dipertuan Agong menarik balik darjah kebesaran Kelantan membawa gelaran ‘Datuk’ yang dikurniakan kepada Naib Presiden PAN Husam Musa dan Pengerusi PAN negeri, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

0 comments:

Post a comment