Tuesday 6 February 2018

Jualan Murah Bantu Rakyat Berbelanja


KEPALA BATAS - Dalam masa tidak sampai satu jam, lebih 300 ekor ayam habis terjual dalam Program Jualan Bantu Rakyat Pe­ringkat Parlimen Kepala Batas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Tok Labu dekat Penaga, di sini baru-baru ini.

Manakan tidak, ayam yang sepatutnya dijual pada harga RM10 seekor diberi potongan separuh harga hasil keprihatinan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung ialah beras, gula, ikan, milo dan susu tin yang juga dijual pada harga jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Kementerian Perda­ga­­ngan Dalam Negeri, Ko­pe­rasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang me­nganjurkan program itu menyediakan subsidi harga barangan sehingga RM47,300 sebelum diberi subsidi tambahan seba­nyak RM3,000 lagi oleh Reezal Merican.

Reezal Merican berkata, program jualan itu diadakan bagi meringankan bebanan rakyat untuk membeli barangan keperluan harian pada harga murah.

“Pada awalnya KPDNKK sudah berikan subsidi sebanyak RM47,300, namun saya bersetuju menambah lagi subsidi sebanyak RM3,000 untuk membolehkan pengunjung membeli tiga bara­ngan iaitu ayam, beras dan ikan dengan diskaun istimewa.

“Hampir 5,000 pengunjung hadir pada program kali ini yang julung-julung kali diadakan dan dijangka diperluaskan ke kawasan lain di Parlimen ini bulan depan,” katanya.

Menurutnya, program itu juga bukanlah satu program politik kerana ia memberi peluang kepada semua golongan masyarakat untuk membeli barangan pada harga murah tanpa mengenal batas fahaman mereka.

Katanya, program tersebut juga membuktikan keprihatinan kerajaan kepada rakyat yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup dan kerajaan sentiasa mencari jalan untuk membantu mereka.

Sementara itu, seorang pengunjung Sahizan Bahari, 35, berkata, dia amat teruja untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti beras, susu dan gula dengan harga istimewa.

“Dengan adanya program ini, ia membantu saya mengurangkan perbelanjaan barangan keper­-luan untuk keluarga dan boleh berjimat sikit pada bulan ini.

“Saya berharap ia subsidi sebanyak akan diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak barangan ditawarkan kepada orang ramai seperti tepung dan minyak masak,” katanya. - Utusan Online

1 comments:

  1. Rakyat mahu harga murah dan mampu beli sepanjang masa bukan nya sekali sekala....

    ReplyDelete