GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya berurusan terus dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mengetahui status terkini berhubung kes penjualan tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang terletak di Seberang Perai Selatan (SPS).
Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, ia berikutan, kerajaan negeri yang diwakili Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin telah membuat laporan kepada SPRM pada April 2016.
“Saya harap Guan Eng tak terus menyindir SPRM dengan mendakwa pihak berkuasa itu lembab dalam melakukan siasatan dan menuduh SPRM berada di bawah telunjuk Umno hanya kerana mengheretnya ke mahkamah kerana kes rasuah.
“Umno dan Pengerusi Umno Pulau Pinang tidak bertanggungjawab ke atas siasatan yang dilakukan oleh SPRM,” katanya ketika dihubungi tadi.
Zainal Abidin turut berkata, tindakan Guan Eng membangkitkan semula isu tersebut dilihat tindakan terdesak bagi mengalihkan tumpuan rakyat ke atas skandal projek mega terowong dasar laut yang menjadi tumpuan ramai sejak sebulan lalu.
Minggu lalu, Guan Eng mendesak Umno Pulau Pinang menjelaskan isu penjualan tanah milik Perda yang didakwa dijual di bawah harga pasaran.
Guan Eng berkata, walaupun isu itu dibangkitkan dua tahun lalu, namun ia tidak diperjelaskan sehingga kini tentang harga penjualan tanah yang terletak berhampiran Kampung Tok Keramat di Sungai Bakap itu.
Tanah seluas 3.46 hektar di Mukim 9 di SPS tersebut didakwa dijual di bawah harga pasaran pada 2016 kepada syarikat swasta dengan harga RM1.43 juta.
Namun, mengikut daripada urusan pindah milik tanah berkenaan, penilaian yang dibuat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap tanah itu bernilai RM16.6 juta namun Perda menjual kepada SYT Prestige Sdn Bhd jauh lebih rendah dari penilaian itu iaitu 8.6 peratus dari harga pasaran dan menanggung kerugian RM15.2 juta. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment