Wednesday 7 February 2018

Negarawan Yang Baik Tidak Akan Gadaikan Prinsip Yang Memalukan Diri


ALOR SETAR, 7 Feb – “Seorang negarawan yang baik akan mengajak rakyat melihat apa yang telah kerajaan lakukan dan dia akan cadangkan kepada kerajaan apa yang dia tidak sempat buat, bukannya mahu menghancurkan apa yang telah dibina selama ini,” demikian menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustafa berhubung tindak tanduk Tun Dr Mahathir ketika ini yang dilihat sentiasa membuat pusingan U yang bertentangan dengan prinsip yang beliau pegang selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Tegas beliau gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya rakyat Malaysia menunjuk perasaan di jalanan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan darurat bagi mengelak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan ternyata satu sangkaan dan tuduhan yang cukup tidak berasas.

“Bagaimana seorang bekas perdana menteri boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu. Ini bukan sahaja tuduhan liar malah mengajak rakyat ke jalanan memperlihatkan betapa beliau (Mahathir) terdesak dan sanggup berputar belit sedangkan umum tahu apa yang beliau lakukan ketika menjadi perdana menteri puluhan tahun lalu. Negarawan yang baik tidak akan gadaikan prinsip yang memalukan diri sendiri,” ujar beliau dalam satu wawancara khas bersama UMNO-Online.

Tambah Syed Hafiz, sebelum ini Tun sendiri pernah mengakui sepanjang pentadbiranya beliau gagal untuk menyatu padukan orang Melayu dan seharusnya apabila pucuk pimpinan negara dipimpin oleh individu lain, beliau sepatutnya memberikan sokongan dan bukannya mahu melihat rakyat terus berpecah-belah.

“Bagi saya, apa yang Dr Mahathir lakukan kini sebenarnya mencerminkan cara politik beliau sendiri… kalau orang buat begini maka taktikalnya harus begitu… saya percaya anak muda di Kedah tidak akan terpengaruh dengan mainan politik putar Mahathir… kami tetap hormat dia sebagai individu yang banyak berjasa tetapi cara dia kini telah senada dengan pembangkang… nafas Dr Mahathir kini adalah nafas pembangkang,” bidas beliau. 

0 comments:

Post a Comment