Saturday 3 February 2018

Perlis Perlu Kekal Jadi Kubu Kuat BN – Khairy


ARAU – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata, Perlis perlu kekal menjadi kubu kuat BN untuk membantu parti memenuhi sasaran memenangi dua per tiga daripada keseluruhan kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Jelas beliau, ketika tsunami politik melanda negara pada PRU-11, Perlis telah membuktikan gelombang tersebut berhenti setakat di negeri Kedah sahaja.

“Saya harap rakyat di negeri ini pasang niat dan matlamat bahawa Perlis akan terus jadi kubu kuat BN.

“Perlis jadi kubu BN pada 2008 bila negara dilanda tsunami politik…. kekalkan semangat tersebut untuk pertahankan perlis, pertahankan 13 kerusi DUN dan rampas 2 lagi (yang dimenangi pembangkang) dan kekalkan 3-0 kerusi parlimen.

“Bagi saya Perlis adalah negeri sangat penting. Perlis buktikan apa yang negeri lain tidak boleh capai tapi Perlis boleh capai,” ujarnya dalam ucapan perasmian Jelajah Briged 2314 Pemuda BN peringkat negeri Perlis di Dewan 1Malaysia Simpang Empat, Perlis hari ini.

Tambah beliau, sekiranya ‘ketumbukan’ semua pihak bersatu, sudah pasti BN akan mampu mencapai kemenangan yang besar di PRU-14 nanti.

“BN bukan parti lima tahun sekali… kita sentiasa jaga kebajikan rakyat dan kerana itulah saya sedang merangka manifesto khas untuk anak muda dan akan saya bentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Tun Abdul Razak) dalam masa terdekat.

“Saya beritahu kepada Datuk Seri Najib, apa salahnya kita ada satu akujanji untuk orang muda kerana orang muda adalah masa depan negara.

“Apa salahnya BN dilihat sebagai parti masa depan untuk anak muda… apa salahnya BN dilihat bukan sahaja menjaga masa depan orang lama tapi untuk anak muda juga,” jelas beliau.

Justeru beliau berharap anak muda tidak membuang masa dengan mengundi pembangkang kerana beliau yakin BN akan terus menjadi pemerintah selepas PRU nanti.

0 comments:

Post a Comment