Friday 23 February 2018

Pertumbuhan Ekonomi 5.9 Peratus Kejayaan Kerajaan Dalam ETP


Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 5.9 peratus membolehkan kerajaan mempelbagaikan usaha dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar peratusan itu adalah yang tertinggi di dunia hasil daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan.

Antara program terbaru yang diperkenalkan, Program Jualan Sentuhan Rakyat dan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0.

“Apabila asas pendapatan kita kukuh, bukan sahaja golongan B40, malah M40 juga mendapat tempias dan kita sudah mengumumkan pada pembentangan Bajet 2018, cukai pendapatan mereka dikurangkan sebanyak dua peratus.

“Dalam bidang pendidikan pula, setiap pelajar disubsidi RM8,900 setahun dalam usaha kita memberikan pendidikan yang percuma. Kerajaan perkenalkan Program Jualan Sentuhan Rakyat, Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0, ini antara inisiatif kerajaan tangani isu kos sara hidup,” katanya pada sesi perkongsian #Bajet2018 Bersama Rakyat mengenai Kesejahteraan Isi Rumah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Khamis.

Tambah Najib, setiap langkah yang diambil adalah dengan mengambil kira tempoh jangka panjang iaitu 30 tahun akan datang.

Langkah tersebut termasuklah keputusan tidak popular iaitu memperkenalkan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi demi kesejahteraan rakyat.

“Banyak keputusan sukar yang saya terpaksa lakukan, sebagai contoh insiden Al-Maunah, MH370, Lahad Datu dan banyak lagi tetapi itu tidak perlu saya ceritakan di sini, saya simpan dahulu untuk memoir saya.

“Jangan risau sebab mandat yang anda berikan sejak tahun 2009, saya akan lakukan yang terbaik untuk semua rakyat Malaysia. Kita tidak boleh fikir masa sekarang tetapi kena fikir masa 30 tahun akan datang, saya percaya kita akan jadi negara maju dan berdaya saing,” katanya.

Katanya, pemansuhan tol di Batu Tiga, Sungai Rasau, Bukit Kayu Hitam dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Johor Bahru Timur sebagai bukti jelas keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

“Saya tidak percaya kita kena membayar tol setiap hari. Kalau di Lebuh Raya Utara Selatan atau Karak tidak mengapalah sebab bukan kita guna hari-hari. Macam ada pemimpin terdahulu, beliau memang suka tol tetapi saya tidak suka.

“Sebab itu, kita bina Projek Lebuhraya Pan Borneo tiada tol. Saya beri jaminan apa sahaja yang boleh saya lakukan, saya akan hapuskan tol. Ini semua masalah legasi. Saya akan lihat semula keputusan (pemimpin) terdahulu yang membebankan rakyat termasuk isu tol,” katanya.

0 comments:

Post a Comment