Friday 9 February 2018

Sekolah Agama Berasrama Penuh Akan Dibina Di Permatang Pauh


BUKIT MERTAJAM: Janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk membangunkan sebuah Sekolah Agama Berasrama Penuh pertama di Parlimen Permatang Pauh akan direalisasikan dalam tempoh masa terdekat.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, berkata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, memberitahu bahawa Kementerian Kewangan sudah meluluskan peruntukan sekitar RM50 juta untuk pembangunan sekolah itu.

Beliau berkata, ia bagi mengotakan janji Presiden UMNO itu ketika membuat lawatan kerja ke Pulau Pinang pada Ogos, tahun lalu.

"Dalam lawatan terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM45 juta untuk membangunkan Sekolah Agama Berasrama Penuh di kawasan Permatang Pauh.

"Kita bersyukur apabila hasrat untuk melihat pendidikan agama terus berkembang di kawasan ini akan tercapai apabila mendapat maklumat bahawa peruntukan sudah diluluskan, bahkan jauh (tinggi) dari yang diumumkan sebelum ini," katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Bengkel Tekno Inkubator PSP Autotech, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, Kementerian Pendidikan kini dalam proses untuk membuka tender bagi mencari kontraktor yang bersesuaian untuk projek itu yang dijangka siap pada 2021.

"Selain itu, kita juga berhasrat untuk mewujudkan pembelajaran abad ke-21 apabila sekolah ini siap kelak.

"Ini bermakna segala kelengkapan di semua bilik darjah nanti akan mempunyai peralatan pendidikan yang terkini dan moden," katanya.

Mohd Zaidi berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memahami denyut nadi rakyat di kawasan itu.

Sekolah berkenaan akan dibina di kawasan Mengkuang, Penanti.

Pada Ogos tahun lalu, Najib mengumumkan kerajaan akan membina Sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada Majlis Kenduri Bersama Rakyat Parlimen Permatang Pauh.

Dalam ucapannya, Najib berkata, sudah sampai masanya penduduk Permatang Pauh membuka lembaran baru dan menuju ke arah pembangunan dan kemajuan, bukannya ketinggalan seperti sekarang. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment