Thursday 1 February 2018

Status Facebook Berbaur Fitnah Burukkan Imej PDRM Dikesan


KUALA LUMPUR, 1 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan satu kenyataan berunsur fitnah di media sosial Facebook yang cuba memburukkan imej pasukan keselamatan negara itu.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad berkata status di media sosial itu dimuat naik oleh satu akaun yang menggunakan nama dan gambar profil seorang bekas pemimpin.

“Kenyataan (status) itu dimuat naik bersama gambar dua buah kenderaan yang kononnya digunakan oleh pasukan PDRM.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kedua-dua buah kenderaan itu, digunakan oleh satu syarikat perfileman yang sedang membuat pengambaran filem bertajuk ‘The Original Sin’ di sekitar Putrajaya.

“Filem yang mengisahkan tentang kehidupan seorang pegawai polis di bandaraya rekaan dan filem ini adalah untuk tayangan atau pasaran di China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata PDRM memandang serius dakwaan dan persoalan yang dibangkitkan di laman sosial itu kerana ia jelas sekali berniat serong dan membangkitkan persepsi negatif terhadap agensi kerajaan.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang status tanpa terlebih dahulu mendapatkan maklumat sahih kerana ia boleh membawa implikasi yang negatif.

Asmawati berkata pengguna seharusnya menjadi pengguna berhemah, bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan mana-mana media sosial untuk menyebarkan isu-isu yang boleh membangkitkan kegusaran masyarakat.

Beliau berkata adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak menyalahgunakan gambar orang-orang kenamaan sebagai profil akaun media sosial mereka untuk mempromosikan agenda tersendiri.

Semalam, di media sosial telah tular dua kenderaan yang kononnya digunakan pasukan keselamatan itu sehingga menimbulkan tanggapan negatif terhadap PDRM.

0 comments:

Post a Comment