Tuesday 6 February 2018

Tindakan EU Beri Kesan Besar Kepada Kenaikan Harga Minyak Sawit


KUALA LUMPUR, 6 Feb – Biro Antarabangsa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melihat Keputusan Negara Kesatuan Eropah (EU) mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021 bakal memberi kesan kepada harga bahan itu pada masa hadapan.

Timbalan Pengerusinya, Bastien Onn menjelaskan, tindakan EU itu akan menjadikan harga minyak masak semakin mahal kerana permintaan meningkat selain tiada penawaran di pasaran.

“Saya sangsi dengan niat EU ini. Sekiranya mereka mahu menggantikan minyak masak berasaskan kelapa sawit kepada komoditi lain seperti jagung, kanola, soya dan minyak bijian seperti bunga matahari, pasti ia akan mengakibatkan kesan penebangan hutan yang lebih besar.

“Selain daripada itu, baja dan racun yang digunakan oleh komoditi soya, jagung dan lain-lain adalah enam kali ganda lebih tinggi berbanding penanaman kelapa sawit,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penggunaan baja dan racun yang digunakan oleh komoditi soya, jagung dan lain-lain ini sudah tentu ia memberi kesan kepada sumber air dan alam sekitar dunia.

“Bukan itu sahaja, bagi komoditi seperti jagung, penanamannya membimbangkan kerana menggunakan teknik pengubahan genetik (GMO) hanya bertujuan untuk memenuhi permintaan. Ini akan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan sejagat,” tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat.

0 comments:

Post a Comment