NIBONG TEBAL – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman menyifatkan tindakan Pakatan Harapan negeri itu tidak mengumumkan agihan kerusi pilihanraya dalam konvensyen mereka semalam kerana protes di Negeri Sembilan telah menghantui mereka.
Jelas beliau, walaupun sudah mengadakan perbincangan berkaitan pembahagian kerusi begitu lama namun kerana tiada kesepakatan seperti Barisan Nasional (BN), maka mereka masih terus gagal untuk menyelesaikan perkara ini.
“Ini sangat berbeza dengan BN kerana kita tidak bertelagah berkaitan pembahagian kerusi. Contohnya di Pulau Pinang, UMNO bakal bertanding di lima parlimen dan 15 DUN, Jika ada pertukaran satu atau dua kerusipun itu adalah atas dasar suka sama suka.
“Pakatan Harapan pula, bincang sudah lama tapi tetap tidak selesai. Jangan kata pembahagian kerusi, gabungan antara pembangkang juga bertukar, dulu pakatan rakyat, sekarang pakatan harapan.. yang pasti gabungan mereka masih tidak berdaftar,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Semalam konvensyen Pakatan Harapan tidak memuktamadkan pembahagian kerusi sebaliknya Pengerusi parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya menekankan agar penyokong mereka tidak membantah keputusan berkaitan pembahagian yang bakal ditetapkan kemudian.
Dalam ucapannya beliau turut mengakui terdapat masalah tentang pembahagian kerusi dan akan ada yang berasa kecewa apabila kawasan yang diharapkan dapat kepada parti lain.
Berkaitan pengumuman parti Pas yang bakal bertanding di 20 kerusi DUN pada PRU-14, Zainal berkata, ini pastinya memeriahkan suasana pertandingan di negeri itu kelak.
“Pengumuman ini pastinya menyaksikan pertemuan tiga atau empat penjuru dan mungkin lebih malah tidak mustahil sekiranya pembangkang bakal bertemu sesama sendiri.
“Apa yang pasti UMNO dan BN perlu bersedia menghadapi situasi ini dan jentera perlu diperkukuhkan agar agenda merampas Pulau Pinang menjadi kenyataan,” ulas beliau lagi. - Umno Online
0 comments:
Post a Comment