Tuesday 27 February 2018

Tumbangkan Kerajaan DAP Pada PRU14


BALIK PULAU – Umno Bahagian Balik Pulau secara terbuka mengajak seluruh rakyat Pulau Pinang menumbangkan kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP demi menjaga kepentingan masyarakat nelayan pada PRU14 nanti.

Naib Ketuanya, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata, itu satu-satunya tindakan yang boleh dilaksanakan rakyat sebagai balasan terhadap kerajaan negeri yang tidak mempedulikan soal masyarakat yang lain.

“Nelayan perlu jadi ejen, tolong kempen untuk kepentingan nelayan di Pulau Pinang dan masyarakat di negeri ini. Macam mana nelayan nak bagi kepada masyarakat Pulau Pinang ikan yang murah kalau hasil laut semakin kurang.

“Sebab itu para nelayan kena main peranan, bagi tahu kepada anak-anak dan kawan-kawan untuk selamatkan nelayan di Pulau Pinang daripada kerakusan kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan semasa Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Bahang di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Telok Bahang, di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri yang diterajui DAP mungkin tidak merasai kesusahan dan keperitan para nelayan kerana mereka tidak pernah menjadi nelayan.

“Dia duduk dalam bilik penghawa dingin, tak pernah mai lihat bagaimana nelayan pergi ke tengah laut gadai nyawa, selepas itu dia syok-syok pula buat tuntutan. Buat rumah berjuta-juta ringgit, sudah tentu saya dan nelayan tak boleh beli.

“Kalau nelayan tidak main peranan jadi kempen untuk nelayan-nelayan ini, maka percayalah makin hari kita akan hilang profesion nelayan. Tidak ada cara lain sebab  kerajaan negeri yang ada pada hari ini macam bisu, tak dengar dan tak peduli langsung kepada masyarakat.

“Nelayan bagi tahu jangan tambun tanah buat pulau, sudah-sudahlah. Tapi dia tak endah langsung sebab dia tahu nelayan ini pendapatannya orang-orang susah, dia bagi duit,” katanya.

Adun Telok Bahang itu berkata, disebabkan perkara itu maka setiap nelayan harus memainkan peranan dan berkempen untuk tumbangkan kerajaan negeri yang ada pada hari ini untuk kepentingan masyarakat nelayan.

“Jangan biar nasib nelayan dipermainkan. Kenapa profesion ini tidak dibela oleh kerajaan negeri? Kita bukan kira kaum, tanggungjawab kita mana-mana saja bangsa susah kita kena bantu dan kita kena tolong.

“Tidak layak jadi wakil rakyat kalau memilih kaum saja untuk membantu. Tetapi sayang kerajaan negeri pun sama, dia kata tak pilih kaum, tetapi dia pilih profesion. Dia pilih tauke besar, jutawan-jutawan dan jemput orang luar beli rumah banglo, tapi dia lupa nasib nelayan,” katanya.

Jelasnya, hanya kerajaan BN yang mampu membantu nelayan dan menyelesaikan segala masa berbangkit.

“Insya-ALLAH kerajaan BN akan bantu nasib nelayan dan akan perbetulkan semua salah dan silap. Di Pulau Pinang ini bukan Melayu punya, bukan Cina punya dan bukan India punya.

“Ini rakyat Pulau Pinang yang punya. Kita jatuh bersama dan kita bangun bersama,” katanya. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment