Thursday, 22 February 2018

'Tun M Dan Mukhriz Tak Kisah PPBM Terkubur Asalkan Menang PRU14' - AzwanBro


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz lebih rela melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terkubur asalkan mereka berdua menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, dua individu itu kini dalam keadaan terdesak untuk menang dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politik masing-masing.

"Dr Mahathir dan Mukhriz dalam keadaan terdesak, maka tidak hairanlah jikalau mereka bertanding menggunakan logo DAP untuk meraih undi kaum Cina oleh sebab kegagalan untuk meraih sokongan pengundi Melayu. Dr Mahathir dan Mukhriz tak kisah PPBM terkubur asalkan menang PRU-14.

"Saya setuju dengan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa kedua-dua mereka akan bertanding atas tiket DAP pada PRU ke-14 nanti.

"Hal ini menyebabkan ketidakpuasan hati ramai pihak di dalam parti itu sendiri menyebabkan Dr Mahathir tidak lagi popular di dalam PPBM," katanya dalam satu kenyataaan di sini hari ini.

Sebelum ini Mohd Puad mendakwa Dr Mahathir dan Mukhriz bakal bertanding atas tiket DAP pada PRU14.

Jelas Mohd Puad, tindakan itu dikatakan berikutan PPBM gagal mendapat sambutan dalam kalangan orang Melayu, khususnya di kawasan hendak ditandingi.

Tambahnya, hasrat Pengerusi dan Timbalan Presiden PPBM itu mewujudkan satu usaha dalaman oleh kelompok 'proMahathir' untuk mensabotaj pendaftaran parti berkenaan dengan menyalahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Dalam pada itu tegas Khairul Azwan, situasi itu mewujudkan sebuah kerjasama sulit antara Dr Mahathir dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bagi membolehkan Pengerusi Pakatan Harapan itu berpayungkan logo DAP pada PRU akan datang.

"Saya amat yakin Dr Mahathir akan bertanding menggunakan logo DAP kerana terdesak.

"Kini semua pihak tahu bahawa Dr Mahathir merupakan seorang yang tidak berpegang kepada apa-apa prinsip kerana dia sentiasa percaya matlamat menghalalkan cara, walaupun cara tersebut merupakan sebuah pengkhianatan kepada ahli dan PPBM sendiri," tegasnya.

Dr Mahathir sebelum ini memberitahu, sudah mempunyai idea dan perancangan tentang apa yang perlu dilakukan jika berjaya membentuk kerajaan pada PRU14. - Astro Awani

0 comments:

Post a Comment