Monday 12 February 2018

UMNO Ada Peluang Cerah Rampas Permatang Pauh


Bukit Mertajam - UMNO optimis mempunyai peluang cerah merampas kerusi Permatang Pauh pada PRU14 akan datang walaupun terpaksa berhadapan persaingan tiga penjuru.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, selama ini kekuatan PKR di Permatang Pauh hanya bergantung sepenuhnya daripada pengundi Cina dan PAS.

Menurutnya, apabila PAS tidak lagi bersama dengan Pakatan Rakyat ia akan memberikan kesan kepada PKR dan sudah pasti akan menjejaskan undi kepada mereka pada PRU14 nanti.

"PKR akan menghadapi masalah kali ini kerana mereka akan kehilangan undi daripada penyokong PAS yang selama ini memenangkan mereka.

"Penyokong tegar PAS yang kita tahu akan setia kepada pemimpin mereka dan seterusnya memilih calon mereka sekiranya PAS bertanding di sini kelak," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan bengkel kereta dan motosikal di Politeknik Permatang Pauh, di sini semalam.

Mohd Zaidi berkata, bagi UMNO ini juga satu ancaman tapi dalam masa yang sama UMNO melihat dari sudut positif selain sokongan yang semakin baik diterima ketika ini.

"Apabila PAS dan PKR berpecah, peluang BN akan lebih baik selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas pengumuman Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesahkan PAS akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU14.

Selain kerusi Parlimen Permatang Pauh, PAS juga dikatakan akan meletakkan calon di kerusi DUN Penanti, Seberang Jaya dan Permatang Pasir.

Mohd Zaidi berkata, walaupun PAS dilihat mempunyai potensi yang baik di sini namun UMNO tetap yakin akan memberikan persaingan kepada parti berkenaan dan PKR.

Katanya, selain sokongan dan kesetian penyokong UMNO dan BN di kawasan ini, beliau mengharapkan masyarakat Cina di Permatang Pauh memberi peluang kepada BN pada PRU14 nanti.

"Kita lihat masyarakat Cina di sini tidak senang dengan tawaran Pakatan Harapan yang mahu menaikkan semula Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri khususnya golongan muda.

"Kerana mereka melihat Tun Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab menyebabkan masyarakat Cina dianaktirikan sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

"Saya rasa sejarah ini tidak akan dilupakan dan sekiranya ini berlaku BN memang ada peluang untuk menang pada  pilihan raya akan datang," katanya.

0 comments:

Post a Comment