Friday 2 March 2018

Abdul Azeez Buat Laporan Polis Dikaitkan Dengan Projek Terowong


SHAH ALAM, 2 Mac – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim hari ini membuat laporan polis bagi menggesa satu siasatan dibuat terhadap pihak yang didakwa menyalahgunakan namanya dalam isu pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Katanya laporan itu dibuat susulan beliau mendapat surat tuntutan daripada firma guaman yang mewakili sebuah syarikat pada 27 Feb lepas, yang mendakwa beliau bersubahat dengan seorang individu bagi memperolehi RM3 juta berkaitan projek tersebut.

“Saya menerima surat tuntutan dari pejabat peguam yang mewakili syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd yang mana kandungan surat ini antara lain menuduh saya sebagai seorang penipu, perasuah serta mampu mempengaruhi pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi pihak Zenith dalam projek Penang Undersea Tunnel yang dikatakan diperolehi Zenith,” katanya.

Dalam surat itu, beliau dituduh menerima atau telah bersubahat dengan seorang yang bergelar ‘Datuk” bagi memperolehi RM3 juta yang dikatakan mempunyai kaitan dengan projek itu, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini, hari ini.

Turut sama ialah peguam mewakilinya Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez yang juga Anggota Parlimen Baling berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pihak atau individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan namanya bagi mendapatkan faedah dan manfaat daripada projek berkenaan.

“Saya menafikan terlibat dengan projek terowong ini… saya sangat setia kepada parti (UMNO) jadi mengapa saya harus terbabit dengan projek yang mempunyai kaitan dengan parti Dap ini,” tegasnya.

Sementara itu, Jahaberdeen berkata pihaknya telah memberi tempoh empat hari kepada syarikat tersebut untuk menarik balik semua dakwaan dan membuat permohonan maaf kepada anak guamnya sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.

“Laporan polis dibuat sebab anak guam saya peka terhadap pihak-pihak yang cuba menjual namanya sebagai seorang wakil rakyat selain kita lihat tuduhan ini palsu dan tidak berasas serta turut membabitkan institusi polis dan SPRM,” katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment