Thursday, 1 March 2018

Apa Perubahan Selepas 10 Tahun Pulau Pinang Di Bawah DAP ?


SELEPAS hampir seminggu tular di media sosial, video seorang wanita dari Pulau Pinang yang berkongsi kekecewaannya dengan situasi semasa kehidupan di negeri itu sudah ditonton hampir 800,000 orang dan dikongsi lebih 2,000 kali.

Untuk sebuah video yang pengisiannya tidak mempunyai elemen komersial atau hiburan mendapat jumlah tontotan yang tinggi sebegitu adalah sesuatu yang luar biasa.

Namun, apabila meneliti luahan gadis Cina berusia pertengahan 20-an itu, ramai khususnya penduduk Pulau Pinang boleh mengaitkan situasi gadis berkenaan dengan realiti yang sedang dihadapi mereka ketika ini – sekali gus menjawab mengapa video itu berjaya menarik perhatian sedemikian rupa.

Persoalan utama yang diajukan gadis berkenaan di dalam video bertajuk `Penang, would you hear my story’ itu adalah apakah perubahan yang telah dibawa Kerajaan DAP Pulau Pinang selepas 10 tahun memerintah negeri itu?

Ini juga sebenarnya tanda tanya besar dalam kalangan majoriti penduduk Pulau Pinang yang mungkin tidak terluah menerusi video seperti dihasilkan gadis berkenaan.

Apa yang diperhatikan mereka adalah Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mewarisi dan meneruskan pembangunan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Tidak ada pembangunan baharu yang diharapkan mampu merancakkan ekonomi negeri itu untuk dinikmati penduduknya sekali gus meningkatkan taraf hidup atau sekurang-kurangnya menampung beban kos sara hidup mereka.

Lebih malang, dasar-dasar yang diperkenal Kerajaan DAP Pulau Pinang pula menambah beban kepada mereka terutama dalam soal pemilikan rumah dan caj utiliti.

Begitu juga dengan sikap mesra pemaju yang menyaksikan pelbagai projek komersial terutama rumah mewah rancak dibina di sebalik keluhan penduduk yang terus bergelut untuk memiliki rumah mampu milik dan kos rendah.

Perkembangan ekonomi di negeri ini juga semakin membimbangkan apabila banyak kilang ditutup menyebabkan penduduknya berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan.

Status sebagai sebuah negeri yang selama ini berbangga kerana keunikan alam sekitarnya juga semakin terancam disebabkan kerakusan menceroboh hutan dan menambak laut.

Ini adalah antara perkara yang semakin jelas pada pandangan penduduk Pulau Pinang sepanjang 10 tahun di bawah kerajaan DAP.

Sebab itu, walau sekuat mana sekali pun usaha Kerajaan DAP Pulau Pinang menyerang gadis di dalam video yang tular berkenaan, perbuatan itu sebenarnya hanya sia-sia.

Ini kerana tindakan itu tidak dapat menutup realiti sebenar kehidupan di Pulau Pinang ketika ini dan gadis berkenaan bukan satu-satunya penduduk yang berdepan kepayahan berkenaan.

Sebaliknya, dia mewakili penduduk Pulau Pinang yang sepanjang 10 tahun lalu, tertipu dengan janji-janji perubahan yang kononnya mahu dibawakan pembangkang atau lebih tepat DAP. - Utusan Online


0 comments:

Post a comment