Tuesday 27 March 2018

Asas Ekonomi Malaysia Kukuh: Ringgit Akan Mengukuh Kepada RM3.80 Pada Akhir Tahun – Pakar Ekonomi UOB


KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB) menjangka ringgit akan mengukuh kepada RM3.80 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan peraturan berkesan pasaran pertukaran asing luar pesisir.

Ahli Ekonomi, Julia Goh berkata, bank itu kekal positif terhadap prospek ringgit dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang walaupun jangkaan kemeruapan pasaran yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

“Sekiranya mata wang serantau lemah berbanding dolar US, kami menjangkak ringgit mengalami kemeruapan dalam jangka terdekat tetapi berprestasi yang lebih baik secara keseluruhannya berbanding mata wang Asia yang lain,” katanya kepada pemberita dalam taklimat mengenai prospek ringgit dan pertumbuhan ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, ringgit dijangka kurang terdedah kepada peningkatan ketara dalam turun naik berbanding mata wang serantau lain yang disokong oleh pemacu pertumbuhan global dan domestik yang menggalakkan.

“Keadaan pertumbuhan global yang menyokong, tahap penggunaan swasta domestik yang lebih tinggi dan perbelanjaan pelaburan swasta dan pasaran pertukaran asing yang teratur di dalam pasaran meletakkan ringgit pada kedudukan kukuh,” katanya.

Julia berkata, inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan kedalaman dan kecairan pasaran pertukaran asing di Malaysia telah menghasilkan perbezaan positif.

“Sejak BNM mengumumkan inisiatif pertukaran mata wang asing baru pada Disember 2016, kami melihat keadaan pertukaran asing di dalam negeri stabil, aliran permintaan dan penawaran mata wang asing yang lebih tinggi, kemeruapan purata yang lebih rendah untuk ringgit dan kos urus niaga bagi perniagaan telah merosot berkurang,” katanya.

Julia berkata, ringgit juga dijangka mendapat manfaat daripada aliran pelaburan yang stabil sektor swasta dan tahap penggunaan pengguna swasta yang lebih tinggi.

“Penambahbaikan terhadap pasaran buruh, pendapatan nominal yang lebih tinggi dari tahun-tahun sebelumnya dan peningkatan kemakmuran di kalangan rakyat Malaysia telah membantu mengukuhkan tahap penggunaan swasta di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, langkah-langkah fiskal negara, seperti pemotongan cukai peribadi, bantuan tunai dan pemberian belanjawan, memberikan lebih banyak sokongan untuk perbelanjaan pengguna.

“Selain itu, pengembangan ekonomi global yang berterusan akan mendorong perdagangan dan pelaburan dan memberi sokongan pertumbuhan yang menggalakkan kepada Malaysia,” katanya.

Mengenai prospek Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), beliau berkata, terdapat kemungkinan bank pusat menyemak semula pertumbuhan KDNK tahun ini daripada lima peratus pada masa kini, bergantung kepada penggunaan domestik dan prestasi pelaburan.

“Kami telah mengekalkan pertumbuhan KDNK sebanyak lima peratus disebabkan oleh kesan asas yang tinggi, tetapi kami mengakui bahawa terdapat potensi meningkat jika penggunaan swasta dan pelaburan terus berdaya tahan,” katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment