Tuesday 13 March 2018

Bajet 2018 Bersama Rakyat: Belia & Pelajar


Pagi ini saya berada di negeri Perlis untuk menghadiri sesi bersama para belia dan pelajar bagi program Bajet 2018 Bersama Rakyat, dan membuat perkongsian berkenaan inisiatif dan topik yang dekat di hati mereka.

Sesi di Universiti Malaysia Perlis ini adalah yang ketiga dalam siri Bajet 2018 Bersama Rakyat, setelah sesi pertama bersama para nelayan, pesawah padi, pekebun kecil di Kedah pada November , dan sesi kedua di PPUKM Cheras bulan lalu.

Saya masuk ke Dewan Ilmu di UNIMAP ini, sambutan para pelajar begitu bersemangat, terima kasih! Saya difahamkan lebih 3,000 pelajar, termasuk dari UiTM Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin turut serta, sampai melimpah ada yang duduk di atas lantai.

Saya mulakan sesi kali ini dengan berkongsi sedikit-sebanyak kisah saya semasa sebaya dengan para pelajar yang hadir di sini, membesar di Federal Hill, berbasikal pergi beli Nasi Lemak Tanglin, panjat pokok rambutan.

Walaupun saya anak Perdana Menteri, tetapi Allahyarham Ayahanda tidak manjakan kami, kami perlu berusaha untuk dapatkan apa yang kami inginkan, tiada seorang pun anak-anak Tun Razak dapat kontrak Kerajaan.

Saya berkongsi kepada hadirin, bahawa pendidikan adalah amat penting, dan merupakan kunci kepada masa depan. Dahulu, mungkin atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan seperti kewangan dan sebagainya, ibu bapa kita tak dapat peluang dan akses kepada pendidikan sepertimana yang kita dapati hari ini.

Di Malaysia hari ini, pendidikan rendah dan menengah adalah percuma, Kerajaan beri subsidi RM8,900 bagi setiap murid setahun. Selepas tamat di zaman persekolahan, pelajar yang ingin sambung pelajaran ada banyak pilihan.

Sekiranya ingin sambung belajar ke universiti awam, Kerajaan sediakan biasiswa, malah subsidi sebanyak 90 peratus. Dalam Bajet 2018, saya umumkan peruntukan RM13.89 bilion bagi pendidikan tinggi.

Kerajaan juga ada menyediakan PTPTN, setakat tahun lepas sejumlah RM50.41 bilion pinjaman telah diberikan kepada 2.17 juta pelajar. Malah, mereka yang dapat Ijazah Kelas Pertama dikecualikan bayaran balik, seramai 41,706 pelajar dengan peruntukan RM1.23 bilion!

Hakikatnya, pelajar hari ini di bawah Kerajaan Barisan Nasional dapat akses kepada pendidikan, malah percuma atas merit.

Kalau yang masuk ke dunia pekerjaan, ada banyak peluang telah dan akan terus tersedia.

Sejak 2009, Kerajaan telah mewujudkan 2.26 juta pekerjaan baharu, dan hasil keyakinan pelabur kepada Malaysia didorong oleh pengurusan ekonomi kita yang berkesan, sebanyak RM369 bilion pelaburan telah kita terima, yang mana membolehkan kita meneruskan dan merancang pelbagai projek mega dan InfraRakyat seperti MRT, Lebuhraya Pan Borneo, HSR dan bermacam lagi.

Kesemua ini bermakna akan lebih banyak peluang pekerjaan tersedia buat para belia, malah ada peluang bagi mereka untuk bekerja dan menyumbang dalam projek-projek ikonik negara.

Saya beri contoh, sewaktu saya melawat pembinaan MRT dahulu, saya gembira melihat banyak yang bekerja di situ anak-anak muda, daripada pelbagai latar belakang diberi kepercayaan mengendalikan kerja-kerja penting, seperti saudari Nur Asiah Izaliza, lulusan Universiti Tenaga Nasional dari Kota Kinabalu. Baru 29 tahun tapi dah mengendalikan trackwork di MRT!

Mungkin ada yang lebih berminat nak menceburi bidang keusahawanan, dan Kerajaan menyokong dengan pelbagai inisiatif, contohnya Digital Free Trade Zone atau DFTZ, yang memberi peluang kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana mengembangkan pasaran mereka ke luar negara.

Saya juga ambil kesempatan ini untuk menepis tuduhan pembangkang mengenai pengangguran belia. Sebenarnya, kalau dibandingkan dengan negara di Eropah, Australia dan Denmark, kadar pengangguran kita masih rendah pada 12.4%.

Meskipun begitu, statistik ini tidak boleh dilihat begitu sahaja, kerana ia tidak mengambil kira fenomena global digelar gig economy, di mana ramai memilih pekerjaan sementara dan fleksibel, tidak terikat kepada makan gaji.

Ada yang tanya kepada saya mengenai inisiatif SL1M, dan saya terangkan bahawa Kerajaan mengadakan SL1M ini bertujuan bagi membantu para pelajar dan belia mendapatkan pengalaman berharga bekerja bersama syarikat GLC dan swasta.

Baru-baru ini, saya pun ada umumkan bahawa elaun SL1M yang diberikan kepada semua pelatih dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM2,000.

Alhamdulillah, sesi kali ini begitu meriah dan berjaya, dan saya sukacita berpeluang sekali lagi berkongsi keadaan sebenar negara kini, selain memberi jaminan kepada para belia dan pelajar bahawa Kerajaan yang ada hari ini adalah Kerajaan yang tepat, dengan pelbagai inisiatif telah kita rencanakan untuk jangka masa dekat dan juga panjang.

Bayangkan Malaysia tidak berapa lama sahaja lagi, dengan pelbagai projek mega dan InfraRakyat yang bakal siap seperti Lebuhraya Pan Borneo pada 2021, MRT pada 2022, HSR pada 2026, dan juga Bandar TRX yang akan jadi hab kewangan antarabangsa serta bermacam lagi.

Dan inisiatif TN50 yang kita laksanakan membuktikan bahawa kita memikirkan bukan sahaja untuk masa kini, tetapi juga bagi generasi akan datang.

Insya-Allah, bersama-sama dengan Kerajaan, masa depan belia dan pelajar di Malaysia akan terus cerah dan berjaya. - Najib Razak.com

0 comments:

Post a Comment