MUAR, 10 Mac — Barisan Nasional (BN) mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya akan memperkenalkan manifesto khusus untuk pengundi pemuda pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata usaha itu yang tidak pernah sesekali dilaksanakan mana-mana parti termasuk BN itu, telah pun dipersetujui Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diwujudkan.
Katanya, pelaksanaan manifesto itu nanti bukan hanya setakat mencipta peluang pekerjaan, menjamin peluang ekonomi dan mewujudkan peluang perumahan kepada anak-anak muda malahan, lebih penting lagi membuktikan bahawa BN komited dalam memperjuangkan nasib dan kesejahteraan golongan itu di negara ini.
“Dalam sejarah pilihan raya, tidak pernah ada manifesto khusus untuk orang muda. BN yang ada. Yang bakal mencipta peluang pekerjaan, peluang menjana ekonomi, menjana perumahan untuk anak muda.
Manifesto kita bukan madu beracun, bukan janji-janji kosong seperti mereka, Pakatan Harapan palsu,” kata beliau, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, ketika berucap pada Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN peringkat kebangsaan yang disempurnakan perdana menteri, hari ini.
“Justeru, jangan kita toleh belakang memilih pemimpin dari zaman silam. Kita perlu pastikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) menjadi satu kenyataan. Kita pemuda puteri akan jadi benteng harapan untuk pastikan kemenenangan BN,” kata Khairy.
Turut hadir pada himpunan itu Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan pengerusi pemuda BN dan pengerusi sahabat puteri BN dari 13 negeri lain termasuk Sabah, Sarawak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor.
Katanya, pakatan pembangkang sebelum ini terlalu banyak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat termasuk kononnya ingin menghapuskan semua hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) jika memenangi PRU14.
Mereka juga kerap mengkritik pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diilhamkan oleh Najib dengan menyifatkannya sebagai dedak.
Namun, hari ini, mereka telah melakukan pusingan U dengan mengatakan akan mengekalkan BR1M pula, kata Khairy.
Sehubungan itu, beliau meminta anak-anak muda agar tidak mudah terpedaya dan meneruskan sokongan terhadap kerajaan terutamanya di Johor dengan memberikan kepercayaan kepada Datuk Seri Mohamed Khaled sebagai Menteri Besar Johor untuk mentadbir negeri demi memastikan pembangunan yang berterusan.
Sementara itu, Pengerusi Sahabat Puteri BN Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam rakaman video untuk majlis itu berkata gerakan yang diketuainya kini sudah bersedia untuk melaksanakan ikrar bagi memenangkan BN pada PRU14.
Katanya, biarpun keanggotaan gerakan Puteri BN adalah terdiri daripada pelbagai parti komponen namun tidak bermakna ia tidak mampu menjalankan kerjasama dengan baik bagi mempertahankan kerajaan sedia ada.
Tambah Ketua Pergerakan Puteri itu, apa yang lebih penting ialah kesefahaman agar setiap anggota gerakan dapat memahami gerak kerja yang dipertanggungjawabkan seterusnya memastikan segala program yang dirancang untuk mendekati rakyat dapat disempurnakan dengan baik.
Mas Ermieyati tidak dapat hadir ke himpunan itu kerana dimasukkan ke hospital semalam atas masalah kesihatan.
Lebih 10,000 pemuda dan puteri hadir pada perhimpunan raksasa itu. - Bernama
0 comments:
Post a Comment