Wednesday 14 March 2018

BN Dijangka Umum Senarai Calon Lebih Awal


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) terutama UMNO dijangka mengumumkan lebih awal senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sekali gus memecah tradisi yang diamalkan selama ini.

Sumber berkata, satu majlis khas kemungkinan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini untuk semua bakal calon.

Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dijangka menyampaikan surat watikah sebagai calon kepada mereka terbabit.

Mengenai tarikh majlis penyampaian watikah itu, sumber berkata ia bergantung kepada bila pembubaran Parlimen dan tarikh penamaan serta pengundian ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut sumber itu lagi, perkara ini tidak pernah dilakukan sebelum ini, tetapi ia berbeza kali ini, bagi memberi semangat kepada semua calon untuk berdepan PRU-14 yang disifatkan sebagai 'ibu kepada segala pilihan raya'.

Pada PRU-13, Najib cuma menyampaikan surat watikah semua bakal calon BN menerusi presiden parti komponen BN masing-masing dalam satu majlis di sini, pada 15 April 2013, iaitu lima hari sebelum hari penamaan calon.

"Kali ini, ia diadakan lebih awal," katanya.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada ia cuma membabitkan bakal calon untuk kerusi Parlimen atau watikah untuk bakal calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diserah kepada Pengerusi BN negeri untuk menyampaikannya di negeri masing-masing.

Setakat ini, tiga parti komponen BN, iaitu MCA, GERAKAN dan MIC sudah mengesahkan 15 nama yang akan dipertaruhkan untuk bertanding pada PRU-14.

Bagaimanapun, selama ini UMNO biasanya tidak mengumumkan calon mereka lebih awal.

Umum calon bila-bila masa

Kelmarin, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata BN sudah selesai menetapkan senarai akhir calon yang akan dipertaruhkan untuk bertanding di 222 kerusi Parlimen pada PRU-14, dan senarai itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, pada bila-bila masa.

Pada PRU-13, BN yang menampilkan 33 peratus calon muka baharu, memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen dengan UMNO menang 88 daripada 121 kerusi yang ditandingi.

NSTP dalam laporan eksklusifnya Ahad lalu melaporkan pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan pada 29 Mac ini diawalkan, sekali gus memungkinkan Parlimen dibubarkan pada akhir bulan ini atau awal April bagi memberi laluan kepada PRU-14.

Berdasarkan sumber NSTP, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri itu, dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat seawal 19 Mac ini atau selewat-lewatnya pada 26 Mac. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment