Saturday 3 March 2018

BR1M Bantu Golongan Berpendapatan Rendah, Dorong Pertumbuhan – BNM


KUALA LUMPUR, 3 Mac – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang merupakan cetusan idea Bank Negara Malaysia (BNM), terbukti membantu peringkat isi rumah dengan membolehkan kumpulan berpendapatan rendah meringankan tekanan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Menurut bank pusat itu, BR1M turut menyokong dari segi perbelanjaan dan pertumbuhan berikutan kecenderungan kumpulan berpendapatan rendah untuk berbelanja adalah tinggi.

“Tempoh pasca BR1M juga menyaksikan pelarasan secara berperingkat dan teratur serta pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan kawalan harga.

“Susulan kekurangan gangguan harga itu, ekonomi menjadi lebih fleksibel apabila berdepan kejutan dan seterusnya membawa kepada pertumbuhan dan mengekalkan peningkatan pendapatan,” kata bank pusat itu dalam jawapan bertulis kepada Bernama mengenai impak BR1M.

Mengulas sama ada pembayaran BR1M bertujuan mengambil hati rakyat, BNM berkata ia semata-mata menumpukan pertimbangan ekonomi bagi membantu golongan miskin dan memastikan subsidi bersasar itu lebih cekap serta dilaksanakan secara berkesan.

Bank pusat itu berkata, idea BR1M itu juga pertama kalinya dibangkitkan dalam Taklimat Lembaga Pengarah BNM kepada Perdana Menteri pada Mac 2011.

Cadangan itu kemudiannya dipertimbangkan secara teliti dan seterusnya dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi pada Mac dan Ogos 2011.

“Secara asasnya, cadangan itu bertujuan membantu kumpulan sasaran yang memerlukan secara langsung apabila subsidi menyeluruh kerajaan itu dikurangkan secara berperingkat,” katanya.

Malah, kata bank pusat itu, sebelum BR1M diperkenalkan pada 2012, kerajaan sudah berada di tahap ke arah pengukuhan fiskal, termasuk rasionalisasi subsidi.

“Bagaimanapun, tidak wujud sebarang mekanisme lain bagi membantu golongan miskin dan memerlukan ini yang terjejas akibat pelaksanaan langkah itu.

“BR1M berperanan sebagai bantuan langsung dan bersasar untuk kumpulan berpendapatan rendah meredakan tekanan akibat pelaksanaan rasionalisasi subsidi,” kata BNM.

Sehubungan itu, mekanisme pemindahan tunai itu dilihat sebagai langkah pertama dan penting ke arah pembaharuan sistem kebajikan dan perlindungan sosial negara yang lebih mendalam.

BNM seterusnya bertindak mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan bagi membantu golongan terbabit.

Ditanya mengenai kajian yang dilakukan sebelum BR1M diperkenalkan pada 2012, BNM berkata ia menjalankan penyelidikan mengenai mekanisme subsidi yang lazim pada masa itu serta jaringan keselamatan sosial di negara lain.

“Apa yang didapati pelbagai subsidi, pengurusan dan kawalan harga telah mewujudkan ketidakberkesanan yang ketara dan menghalang ekonomi daripada penyesuaian terhadap realiti global dan domestik,” kata BNM.

Turut didapati, subsidi dan mekanisme kawalan harga sedia ada itu membawa kepada kos fiskal yang besar dan berpotensi menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan dalam jangka panjang.

​​​​ “Tidak kurang pentingnya, rejim subsidi sedia ada itu adalah regresif kerana mekanisme itu diagihkan secara tidak seimbang dan dinikmati lebih ramai golongan kaya berbanding miskin.

“Kos subsidi menyeluruh itu terhadap ekonomi juga amat besar.

“Berdasarkan keadaan itu, BR1M telah diperkenalkan sebagai bantuan langsung kepada kumpulan sasar yang kurang bernasib baik menerusi kaedah yang lebih berkesan serta cekap,” katanya.

Subsidi bersasar itu dalam bentuk pemindahan langsung daripada kerajaan kepada kumpulan tidak bernasib baik dalam usaha mengurangkan beban kewangan mereka.

Menerusi rejim subsidi menyeluruh sebelum ini, setiap segmen masyarakat tanpa mengira latar belakang kewangan mereka, berhak menikmati subsidi sama.

“Ini merupakan sistem yang tidak seimbang,” kata bank pusat itu.

Salah satu contoh subsidi menyeluruh itu adalah subsidi minyak yang kemudiannya digantikan dengan sistem pengurusan secara apungan pada 2014.

Satu kajian berdasarkan Kaji Selidik Perbelanjaan Isi Rumah 2009/2010 menunjukkan kumpulan isi rumah 20 peratus tertinggi menerima 42 peratus daripada subsidi berkenaan sebaliknya, kumpulan isi rumah 20 peratus termiskin hanya menerima 4.0 peratus subsidi itu.

“Ini disebabkan kalangan isi rumah mewah itu memiliki bilangan kereta lebih banyak dan besar serta menggunakan jumlah bahan api yang banyak.

“Oleh itu, sistem subsidi menyeluruh itu merupakan mekanisme kurang berkesan dalam memastikan manfaat harga minyak yang rendah itu adalah secara berleluasa dan inklusif.

“Ini memerlukan lebih banyak pendekatan bersasar bagi menggantikan sistem subsidi menyeluruh berkenaan,” kata BNM. - Bernama

0 comments:

Post a Comment