Wednesday 21 March 2018

Guan Eng Diselar Guna Platform Pendidikan Semai Kebencian


PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menyelar perlakuan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menggunakan platform pendidikan untuk membangkit kebencian pelajar kepada kerajaan.

Mahdzir berkata perbuatan tersebut mencerminkan politik keterlaluan Setiausaha Agung Dap itu sehingga sanggup merendahkan martabatnya selaku ketua kerajaan negeri dengan mengajar sesuatu yang tidak baik kepada kanak-kanak untuk kepentingan sendiri.

“Ia sama sekali tidak patut dilakukan seorang bertaraf Ketua Menteri yang tindakannya boleh disamakan dengan perangai seorang ahli politik jalanan,” katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 478 warga kementerian itu di sini hari ini.

Mahdzir berkata demikian mengulas video yang dimuat naik di laman Facebook milik Guang Ming Daily yang memperlihatkan Lim mengajar rentak lagu anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada pelancaran Tuisyen Rakyat Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Dalam sebuah negara majmuk, kita berpolitik yang membawa kepada perpaduan, bukannya politik kebencian,” kata Mahdzir lagi.

Sementara itu, Mahdzir berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat dan pandangan lanjut polis sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung laporan sebuah akhbar mengenai dakwaan terdapat pelajar sekolah yang melanggan pelacur.

Beliau berkata laporan itu hanya memetik kenyataan daripada pelacur terbabit yang mendakwa dilanggan oleh pelajar sekolah dan kebenaran mengenainya hanya boleh dipastikan selepas maklumat lanjut diperoleh daripada pihak polis. - Bernama

0 comments:

Post a Comment