Wednesday 28 March 2018

Guan Eng, Li Koon Didakwa


PULAU PINANG - Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon telah menandatangani perjanjian jual beli lot tanah dan banglo pada harga belian RM2.8 juta walhal nilaian semasa hartanah berkenaan adalah RM4.27 juta.

Perkara tersebut dinyatakan oleh pihak pendakwaan dalam ucapan pembukaan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Rashid Daud pada perbicaraan kes rasuah Guan Eng dan Li Koon di Mahkamah Tinggi di sini yang bermula hari ini.

Pihak pendakwaan turut menyatakan akan membuktikan Guan Eng telah membayar duti setem berjumlah RM122,100 atas nilai hartanah RM4.27 juta pada 8 September 2015.

Keterangan​ ​​juga ​menunjukkan pada 28 Julai 2015, Guan Eng, 58, yang dinamakan sebagai tertuduh pertama dan Li Koon tertuduh kedua telah menandatangani Perjanjian Jual/Beli bagi lot tanah dan rumah di No. 25, Jalan Pinhorn, George Town, di sini pada harga belian RM2.8 juta walhal nilai semasa bagi hartanah itu adalah RM4.27 juta.

Guan Eng mengetahui, harga belian RM2.8 juta adalah di bawah harga nilaian dan/atau harga pasaran selain mengetahui Li Koon mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.

​Mahkamah juga akan didedahkan dengan keterangan yang me­nunjukkan ​Li Koon telah bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan ​​ lot tanah dan rumah itu.

Abdul Rashid berkata, pihak pendakwaan akan menunjukkan, sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menerima barangan berharga iaitu lot tanah dan rumah itu dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi daripada Li Koon yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi beliau.

​Menurut beliau, pihaknya akan membuktikan yang Li Koon telah membeli hartanah tersebut pada 2008 dengan harga RM2.5 juta de­ngan ansuran kepada Public Bank Bhd. sebanyak RM11,872 sebulan.

Saksi pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng telah menyewa rumah tersebut daripada Li Koon sejak 2009 hingga 2015 de­ngan bayaran RM5,000 sebulan.

Keterangan akan menunjukkan Li Koon mengalami kerugian RM6,872 sebulan dan jumlah kerugian selama tempoh sewaan Guan Eng sejak Julai 2009 hingga Jun 2015 berjumlah RM494,784.

Abdul Rashid menyatakan, keterangan akan menunjukkan kedua-dua tertuduh telah menandata­ngani perjanjian tambahan/pilihan bertarikh 23 Jun 2014 dan Guan Eng telah membuat bayaran melalui cek RM100,000 bagi membolehkan beliau diberikan pilihan untuk membeli rumah itu pada harga RM2.8 juta.

Kata beliau, ​pihak​nya​ juga akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan ​Guan Eng​ selaku Pengerusi Jawatankuasa Perancang Negeri telah terlibat meluluskan permohonan ​​Magnificent Emblem Sdn. Bhd. (MESB)​ bagi projek perlingkungan semula Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Am untuk Lot. 436 dan 437 Mukim J, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

Katanya, keterangan saksi-saksi akan mengesahkan bahawa semasa mesyuarat, ahli-ahli tetap Jawatankuasa Perancang Negeri termasuk Guan Eng telah menerima kertas kerja berhubung projek tersebut yang mengandungi maklumat syarikat dan ahli lembaga pengarah MESB termasuk Li Koon yang merupakan seorang daripada pengarah syarikat itu.

Pihak pendakwaan menyatakan, ​ketika keputusan mesyuarat itu dibuat,​ Guan Eng ​ tidak mengisytiharkan hubungan dan kepentingan bahawa ​beliau ​sedang menyewa rumah​ Li Koon.

Sebelum perbicaraan dimulakan, Guan Eng dan Li Koon masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment