Secara logiknya, tiada negara dalam dunia ini yang akan memilih seorang warga emas berusia 93 tahun sebagai ketua kerajaan.
Sambil meragui ketahanan fizikal calon Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, tekanan fizikal seorang Perdana Menteri adalah sangat besar kerana memerlukannya ‘menjelajah’ ke seluruh dunia dan menghadiri empat hingga lima majlis setiap hari.
“Saya tahu, tekanan fizikal itu bukan semudah kita lihat, saya sudah menjadi ahli Parlimen untuk tempoh 10 tahun dan menteri lima tahun.
“Kita bukan nak mempersendakan usia beliau, tetapi kita mahu seorang pemimpin yang sihat dan ‘fit’. Alhamdulillah Tun nampak sihat, tapi kita juga perlu mengambil kira faktor usia beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Youth Millenium (Belia Alaf Baharu) Parlimen Setiawangsa di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Kira-kira 100 pelajar sekolah menengah berusia 16 dan 17 tahun dari sekitar Parlimen Setiawangsa menyertai program tersebut.
Dalam pada itu, ditanya mengenai gesaan 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi yang mahu kerajaan menggugurkan cadangan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar kerana dikhuatiri akan menghalang pemberi maklumat untuk bersuara, Khairy berkata, itu adalah satu sangkaan yang tidak tepat.
“Sasaran kita adalah maklumat palsu bukan pemberi maklumat. Apa-apa pun pemberi maklumat akan tetap mendapat perlindungan mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat,” jelasnya.
Beliau memberitahu, berita palsu bukan sahaja akan mengganggu perjalanan pilihan raya, sebaliknya akan memberi impak terus kepada ekonomi negara, perniagaan, pasaran kewangan dan seterusnya menghancurkan negara. - Utusan Online
0 comments:
Post a Comment