Friday 2 March 2018

Jentera BN Seluruh Negara Dalam Keadaan Siap Siaga – Hishammuddin


KUALA PILAH, 2 Mac – Persiapan jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lebih baik berbanding PRU13, kata Naib Pengerusi BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini termasuklah kesiapsiagaan BN dalam menghadapi fitnah dan tohmahan pembangkang menerusi media sosial.

“Kita tidak ambil mudah PRU14 ini…PRU13 dahulu hebat juga (serangan yang dibuat kepada BN) yang mana saya akui kita ketika itu belum bersedia dan penjelasan tidak dibuat dengan kadar segera.

“Contohnya, isu pengundi Bangladesh, isu terputus bekalan elektrik di Raub, Pahang dan apabila kita terbukti tidak benar dan kita nak menjawab, sudah terlambat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran jentera PRU14 BN Parlimen Kuala Pilah di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Kuala Pilah yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim, Anggota Parlimen Kuala Pilah yang juga Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek, barisan pemimpin BN Kuala Pilah serta 3,000 anggota BN.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata selain persiapan jentera parti yang kian mantap, segala isu dalaman yang melanda parti juga telah berjaya diselesaikan.

“Pun begitu, kita akan terus pantau…saya nak kita tumpu kepada persiapan rapi menuju PRU14,” katanya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu lepas yang mendakwa Pas sebagai pengacau dan hanya nak bantu BN pada PRU14, Menteri Tugas-Tugas Khas itu berkata kenyataan bekas perdana menteri itu sentiasa tidak konsisten dan berubah-ubah.

“Beliau sering buat pusingan U dan sekarang serangannya pun berubah-ubah…hari ini serang Pas pula. Saya fikir biarlah Pas yang jawab kerana kita tumpu nak buat kerja.

“Apa yang penting biarlah orang melihat sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan keunikan BN yang dianggotai pelbagai parti yang mewakili pelbagai kaum amat unik dan sukar ditiru atau dibuat-buat oleh pihak lain.

Terdahulu, dalam ucapan pelancaran itu, beliau meminta semua anggota BN di Parlimen Kuala Pilah terus bekerja kuat memastikan kerusi Parlimen dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) – Pilah, Johol, Juasseh, Senaling dan Seri Menanti – akan terus dapat dipertahankan pada PRU14.

Pada PRU13, BN menang kesemua lima kerusi DUN tersebut serta Parlimen Kuala Pilah.

“Mulai hari ini, kita tak ada pilihan lain selain bangkit dengan semangat luar biasa,” katanya.

Anggota Parlimen Sembrong itu juga turut mengingatkan anggota supaya tidak membenarkan isu-isu semasa yang dilemparkan pembangkang melemahkan mereka. -Bernama

0 comments:

Post a Comment