Sunday 11 March 2018

Jentera Pemuda Dan Puteri Bersedia Sepenuhnya Galas Cabaran Bantu Kemenangan BN Pada PRU-14


MUAR, 11 Mac – Johor yang merupakan negeri lahirnya UMNO sekali lagi mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 15,000 Pemuda dan Puteri Barisan Nasional (BN) masing-masing menyatakan ikrar serta tekad untuk terus membantu parti dalam himpunan jentera sayap parti yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu.

Bertempat di Pagoh yang merupakan kawasan ‘orang kuat’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (PPBM), anak-anak muda daripada pelbagai peringkat dan kawasan Johor membanjiri perkarangan Institut kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan tema biru sambil laungan dan iringan semangat ‘Gempur’ dan ‘Hidup BN’.

Bagi Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Senator Khairul Azwan Harun himpunan terbabit menjadi bukti yang jelas bahawa kedua-dua sayap berkenaan bersiap sedia untuk menggalas amanah dan tanggungjawab membantu parti berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Hari ini menjadi bukti dan testimoni bahawa Pemuda dan Puteri BN seluruh negara sudah bersedia 100 peratus dan saya yakin dengan kepimpinan Khairy Jamaluddin dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, kedua dua sayap ini bersedia menggalas tanggungjawab ini.

“Dan kita di peringkat Pemuda terutamanya sudah pasti tugas penting adalah menjayakan jentera JR Plus selain menarik pengundi anak-anak muda terutama yang masih lagi berada di atas pagar dan kita akan terus bekerja kuat untuk memastikan mereka itu dapat kita tarik dan terjemahkan sokongan mereka kepada BN,” katanya selepas program tersebut.

Tambah Khairul lagi apa yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib juga menyerlahkan bagaimana BN bukan sahaja parti hari ini tetapi parti masa depan yang sekaligus memberi makna parti yang menjaga anak-anak muda untuk tempoh panjang.

“Dan sudah tentulah kalau kita lihat apa yang disebutkan oleh kepimpinan pakatan harapan adalah sebaliknya….berbanding kita menerusi BN bercakap hari ini dan masa depan.

“Jadi saya fikir anak muda tidak perlu risau selagi mana kita Malaysia berada di bawah kepimpinan BN kita yakin masa depan akan terus terbela dan kita juga mempunyai peluang yang baik dan cerah dan sama-sama memajukan negara bersama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Himpunan Pemuda dan Puteri BN di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Pagoh, di sini Sabtu.

Sementara itu, Exco Puteri UMNO, Khaidirah Abu Zahar berpandangan pelancaran jentera berkenaan memperlihatkan sokongan anak muda yang tidak sepertimana digambarkan oleh sesetengah pihak dan dengan pelancaran tersebut ianya membakar semangat Puteri seluruh negara untuk sama-sama tampil membantu kemenangan parti kelak.

“Ini memperlihatkan Pemuda dan Puteri bersedia menempuh bersama-sama untuk membantu kejayaan parti pada PRU nanti. Hari ini merupakan penanda aras yang sangat baik dan kita nampak semangat mereka yang datang dan ini sekaligus memperlihatkan kita juga sudah berani dan bersedia untuk terus mara bersama.

“Kalau sebut soal persediaan, kita dah bersedia sepenuhnya pada tahun lepas lagi …Kepimpinan Puteri dah berjalan ke negeri-negeri selepas Perhimpunan Agung UMNO dan sebelumnya juga kita dah tubuhkan unit khas pilihan raya dan begitu juga kursus-kursus persiapan daripada sudut teknologi maklumat berjalan sepenuhnya. Kita tunggu masa semboyan PRU-14 pada bila-bila masa,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar pula berkata semangat yang ditunjukkan oleh seluruh jentera yang hadir memaparkan semangat yang amat luar biasa dan ditambah pula lokasi pelancaran yang diadakan di kawasan ‘orang kuat’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Semangat yang ditunjukkan hari ini cukup luar biasa bukan sahaja di Pagoh tetapi juga untuk keseluruhan di Johor ini. Bagi kita Pemuda Sabah pula, semangat ini akan dibawa bersama untuk membantu kemenangan BN Sabah.

“Briged Gempur setiap negeri negeri kita dah lancarkan di lima buah negeri dan kemuncaknya di Pagoh dan insya Allah akan diteruskan ke negeri-negeri yang belum lagi dilancarkan. Kita harapkan semangat ini bukan sahaja semarak di Pagoh malah di seluruh negara..

“Skuad penceramah penerangan pula akan dipergiatkan dan penceramah di setiap bahagian diharapkan menjelaskan isu-isu tempatan sebaik mungkin. Penjelasan dan pelbagai info yang baik kepada masyarakat amat penting agar mereka tidak terkeliru dengan janji manis pembangkang,” ujarnya.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim pula berpandangan pemilihan Johor sebagai negeri pelancaran himpunan berkenaan amat simbolik dengan negeri kelahiran UMNO dan merupakan salah satu kubu kuat BN.

“Kita dapat lihat…terbukti dan masih kuat..kehadiran anak-anak muda pelbagai peringkat. Kehadiran yang cukup ramai dan kita yakin dengan apa yang diperlihatkan hari ini bakal menterjemahkan sesuatu yang baik untuk BN.

“Dan untuk Johor, insya Allah dengan apa yang dilaksanakan oleh Menteri Besar, Datuk (Mohamed) Khaled Nordin yang bentangkan pelbagai gagasan orang muda serta masyarakat keseluruhannya sudah pasti akan memberi impak yang baik untuk rakyat dan juga negeri,” katanya.-MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment