Wednesday 7 March 2018

Kanvas Belia TN50 Jadi Input Hadapi Masa Depan


KUALA LUMPUR: Aspirasi baharu dua juta belia menerusi Kanvas Belia Transformasi Nasional (TN50) yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Mac lalu akan menjadi input penting bagi mempersiapkan Malaysia untuk berhadapan dengan perubahan domestik dan global yang akan mengubah wajah negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata tiada siapa yang dapat meramal masa hadapan namun keadaan dunia bagi tempoh 30 tahun akan datang pastinya akan jauh berbeza berbanding hari ini.

"Kadar urbanisasi yang tinggi akan berterusan dan 85 peratus penduduk dijangka tinggal di kawasan bandar serta pinggir bandar menjelang tahun 2050 malah kebanyakannya akan memiliki akses jaringan internet.

"Populasi juga akan bertambah walaupun pada kadar yang lebih perlahan menjadikan anggaran jumlah penduduk seramai 41 juta individu menjelang tahun 2050," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, antara trend yang dititikberatkan untuk tindakan lanjut adalah peralihan kuasa global, model masyarakat yang semakin berkembang, perubahan moden pekerjaan dan pendidikan, perubahan teknologi yang pesat dan cabaran alam sekitar.

"Selain memikirkan hubungan antara negara dan Amerika, China dan India yang bakal menjadi pelopor tiga ekonomi besar dunia, anak muda juga berkongsi buah fikiran dalam mencari jalan berhubung peruntukan yang diperlukan untuk menguruskan keperluan penduduk berusia seperti pencen dan penjagaan kesihatan.

"Jangkaan dan perubahan landskap pekerjaan juga diambil kira oleh belia yang ingin tahu akan sektor yang bakal terganggu dek kepesatan teknologi," katanya.

Beliau berkata, penggunaan robot secara meluas dan data mudah akses membantu anak muda untuk berfikir bagaimana sistem pendidikan dapat diadaptasi supaya dapat bersedia dengan peningkatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan bioteknologi.

"Perubahan cuaca dan corak iklim yang ekstrim bakal berlaku manakala permintaan terhadap sumber asli semakin meningkat berbanding bekalan yang semakin berkurangan.

"Belia kita juga ingin pastikan implikasi alam sekitar dipertimbangkan dalam keputusan ekonomi dan negara akan bergantung kepada campuran sumber tenaga yang berlainan," katanya. - Souljer


0 comments:

Post a Comment