Wednesday 7 March 2018

Kenapa Baru Sekarang Guan Eng Mahu Persoal Bayaran Rundingan RM22 Juta Itu? – Musa


PULAU PINANG, 7 Mac – Setiausaha Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang meminta penjelasan Zenith berhubung isu bayaran rundingan sebanyak RM 22 juta hanyalah wayang kulit pemimpin Dap itu bagi mengaburi mata rakyat berhubung penyelewengan yang didakwa berlaku dalam pembinaan terowong tersebut.

Beliau mempersoalkan mengapa baru hari ini Lim Guan Eng baru mahu menuntut penjelasan berhubung isu bayaran rundingan tersebut sedangkan kes ini sudah pun terbongkar seminggu yang lalu dan hanya membuat kenyataan itu selepas Datuk Seri Abdul Azeez Abdul  Rahim membuat laporan polis.

“Sebab itu saya kata ini semua wayang Guan Eng saja. Mengapa baru hari ini nak persoal tentang bayaran rundingan sebanyak RM22 juta itu? Bukankah sebelum ini beliau juga yang mencanangkan kononnya pemimpin UMNO terlibat dalam isu bayaran rundingan ini. Mengapa kena tunggu seminggu lebih baru nak persoal. Sepatutnya beliau awal-awal lagi kena minta penjelasan Zenith.

“Bila terbukti Datuk Azeez tidak bersalah dan beliau buat laporan polis, Guan Eng mula nak persoalkan Zenith, seolah-olah mahu lepas tangan dalam dakwaannya konon ada pemimpin UMNO yang terlibat dalam isu penyelewengan ini dan meletakkan kesalahan kepada syarikat tersebut,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, apa yang dilakukan oleh Guan Eng hari ini adalah cuba untuk memalitkan isu penyelewengan ini kepada pemimpin UMNO bagi menyelamatkan diri dan imejnya yang semakin tercemar  dengan skandal isu  terowong tersebut.

“Guan Eng main politik dalam isu terowong ini. Nampak seolah-olah beliau cuba nak beritahu kepada rakyat, bahawa pemimpin UMNO juga ada terlibat dalam skandal penyelewengan pembinaan terowong ini.

“Tapi nampaknya Guan Eng dah tersalah langkah apabila cubaan untuk mengaitkan pemimpin UMNO dalam isu ini tidak menjadi. Ia jadi lebih parah dan backfire kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau apabila Zenith sendiri telah memohon maaf kepada Datuk Seri Azeez kerana mendakwa beliau menerima sogokan RM 3 juta sebagai bayaran rundingan dengan pihak berkuasa.

“Apa yang buat Guan Eng lebih gelabah apabila Datuk Seri Azeez telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut, memandangkan beliaulah yang membangkitkan isu kononnya Datuk Azeez Rahim menerima RM 3 juta daripada Zenith sebagai bayaran rundingan,” ujarnya.-MediaUMNO

0 comments:

Post a Comment