Tuesday 20 March 2018

Kerajaan Pulau Pinang Patut Bersyukur


BUKIT MERTAJAM - Kerajaan negeri seharusnya bersyukur dengan bantuan diberikan kerajaan persekutuan kepada 22,534 mangsa banjir di negeri ini.

Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, kerajaan persekutuan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dalam membantu rakyat di negeri ini terutamanya mereka yang ditimpa musibah dan bencana.

Menurutnya, sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mempertikaikan jumlah bantuan diberikan kerajaan persekutuan adalah tidak wajar kerana kerajaan persekutuan bukan hanya menyalurkan bantuan wang tunai semata-mata, malah pelbagai bantuan awal yang diberikan melalui pelbagai agensi kerajaan sebelum ini.

“Kenapa perlu bandingkan apa yang diberi kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan? Banyak bantuan telah kita berikan sebelum ini bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang sejak awal mereka dipindahkan, ketika berada di pusat pemindahan dan bantuan pasca banjir yang tidak diberikan kerajaan negeri.

“Hari ini mereka menerima lagi bantuan wang tunai RM250 setiap seorang bagi meringankan beban mereka. Saya harap Guan Eng reti (tahu) berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan diberikan kerajaan persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bencana Banjir 2017 bagi Parlimen Bukit Mertajam di sini, semalam.

Dalam majlis berkenaan, seramai 1,551 mangsa banjir di sekitar kawasan Bukit Mertajam menerima setiap seorang RM250.

Musa yang juga Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam berkata, Guan Eng sepatutnya sedar dan ingat kembali siapakah individu dan pemimpin kerajaan persekutuan yang dicari ketika Pulau Pinang dilanda musibah tahun lalu.

Katanya, dengan tangisan dan rayuan pada awal pagi, Guan Eng meminta bantuan kerajaan persekutuan untuk membantu kerajaan negeri menangani bencana terbabit.

Sebelum ini, Guan Eng melahirkan rasa kesal apabila mendapati kerajaan persekutuan seolah-olah mengamalkan sikap pilih kasih dalam pemberian bantuan kewangan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Guan Eng berkata, kerajaan persekutuan hanya memberi bantuan kewangan RM250 kepada mangsa banjir yang terlibat dalam bencana itu pada November tahun lalu, berbanding RM500 kepada mangsa di negeri lain.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kerajaan negeri tidak mengharapkan bayaran lebih, namun sekurang-kurangnya bayaran itu menyamai seperti yang diberikan kepada negeri-negeri lain. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment