Monday 12 March 2018

Najib Tempelak Azmin Kemelut Air Selangor


KUALA LUMPUR, 12 Mac – Persidangan Dewan Rakyat pagi ini rancak seketika apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan tentang kemelut air di Selangor ketika menjawab soalan Menteri Besar negeri itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan pengurusan hutang negara.

Mohamed Azmin (PKR-Gombak) dalam soalan tambahannya kepada Najib, selaku Menteri Kewangan yang hadir untuk menjawab soalan pertama pada sesi soal jawab lisan berhubung pengurusan hutang dan penarafan kredit, telah bertanyakan sama ada hutang 1MDB memberi kesan kepada hutang negara.

“YB Gombak, kemelut air di Selangor lebih kritikal,” kata Najib dengan senyuman.

Kenyataan Najib disokong beberapa Anggota Parlimen penyokong kerajaan termasuk Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling), Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) dan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong).

“Isu air di Selangor makin kritikal, saya pun tidak mandi pagi ini,” kata Abdul Azeez yang bangun mencelah.

Keadaan bertukar menjadi kecoh apabila Mohamed Azmin enggan mengalah dan mula bertikam lidah dengan Abdul Azeez sehingga Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia terpaksa mengarahkan mereka duduk.

Keengganan Mohamed Azmin dan Abdul Azeez duduk menyebabkan beberapa anggota penyokong kerajaan turut menjerit meminta Menteri Besar Selangor itu duduk lalu memaksa Pandikar campur tangan dengan mengingatkan mereka supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat.

“Inilah keistimewaan Parlimen, ada soalan yang ditanya berasaskan atas asas lain. Itulah politik, tetapi jangan sampai melanggar Peraturan Mesyuarat,” tegur Pandikar dengan tegas.

Namun, kekecohan itu terus berlarutan dan beberapa Anggota Parlimen penyokong kerajaan termasuk Noraini dan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) berulang kali menyuruh Mohamed Azmin duduk agar Najib dapat menjawab soalan tersebut.

Keadaan ini sekali lagi menyebabkan Pandikar mengeluarkan amaran agar semua Anggota Parlimen bertenang dan membiarkan Dewan Rakyat bersidang semula.

“Jangan sampai saya gunakan kuasa saya. YB tolong senyap,” katanya.

Najib kemudian menjawab soalan Mohamed Azmin dengan menyatakan bahawa hutang negara diuruskan dengan baik dan ini terbukti dengan negara mendapat penarafan yang baik daripada agensi penarafan antarabangsa.

“Saya pun buat perbandingan sebab ada contoh juga bila kita jawab. Kenapa YB Gombak punggung panas bila sentuh pasal air?.

“Soal hutang diuruskan dengan baik kerana peratusan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) telah dikurangkan daripada 55 peratus kepada 50.8 peratus dan jumlah keseluruhan hutang makin menguncup.

“Ini bukan soal hutang tapi kemampuan kita bayar balik. Kemampuan kita bayar balik tidak boleh dipersoalkan kerana badan penarafan antatrabangsa beri kita ketegori A.

“Jadi, hutang negara kita memang diuruskan dengan baik dengan harapan masalah air di Selangor juga diselesaikan dengan baik,” kata perdana menteri. - Bernama

0 comments:

Post a Comment