Sunday 18 March 2018

NGO Minta Polis Siasat Guan Eng Cuba Eksplotasi Kanak-Kanak


GEORGE TOWN, 18 Mac – Dua badan bukan kerajaan (NGO) dan Penang Front Party (PFP) meminta polis menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa cuba mengeksploitasi kanak-kanak demi kepentingan politiknya.

Pengerusi PFP Datuk Patrick Ooi, Pengerusi Kebajikan Surplus Pulau Pinang Sophian Mohd Zain dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat 1Malaysia Mohd Ibrahim A.Siahoo membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Ooi menyifatkan tindakan Lim menyanyikan lagu ‘ABC’, yang kandungan liriknya dilihat menyindir kerajaan Barisan Nasional (BN), dengan sekumpulan kanak-kanak sebagai menghina kerajaan pusat.

“Ketua menteri dalam perasmian tuisyen rakyat semalam telah membawa cakera padat (CD) sendiri dan mengajar budak-budak menyanyi lagu itu (ABC). Menyanyi itu tidak salah tapi lagu itu telah menghina kerajaan dengan menyatakan GST (cuka barang dan perkhidmatan), 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

“Dia (Lim) menyatakan disebabkan  GST  semua orang makan maggi mee dan beliau mengaitkan isu-isu  ini kepada 1MDB,”dakwanya.

Sementara itu, Sophian berkata Lim cuba membawa budaya yang kurang sihat dengan berbuat demikian kerana program itu melibatkan kanak-kanak bawah umur.

“Dia (Lim) mengekspliotasi kanak-kanak untuk kepentingan politik.

“Dalam keadaan yang terdesak, negara menghampiri pilihan raya…DAP, Lim Guan Eng, Pakatan Harapan menggunakan semua saluran dengan menghalalkan cara membawa budak-budak, isu pendidikan ke kancah politik,”katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment