Friday 23 March 2018

NIP Tidak Libatkan Vaksin PnD


BALIK PULAU 23 Mac - Kementerian Kesihatan belum bercadang memperkenalkan vaksin untuk penyakit berkaitan pneumokokal (PnD) ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) buat masa ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pihaknya bagaimanapun bersedia melaksanakan kajian lanjut mengenai keperluan mewujudkan vaksin tersebut pada masa depan.

"Kita akan lihat sama ada keperluan itu betul-betul mendesak atau tidak dan setakat ini saya percaya, belum ada keperluan untuk kita berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas mengenai saranan Pengerusi Perikatan Strategik Asia bagi Penyakit Pneumokokal (ASAP), Datuk Dr. Zulkifli Ismail baru-baru ini yang mahu PnD disenaraikan ke dalam NIP disebabkan populasi rakyat negara ini yang mengambil vaksin itu terlalu sedikit.

Difahamkan, PnD merupakan penyakit umum yang ‘menyerang’ kanak-kanak di bawah usia dua tahun termasuk bayi baru lahir dengan 826,000 kematian dicatatkan daripada keseluruhan 14.5 juta kes berkaitan yang dilaporkan di seluruh dunia.

Jelas Dr. Hilmi, ketika ini juga, sebanyak 13 program vaksinasi telah diwujudkan di negara ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM120 juta setahun. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment