Wednesday 14 March 2018

Parlimen: Akaun FB Rekrut Militan Dipantau


KUALA LUMPUR: Kerajaan memantau 3,871 akaun Facebook yang dipercayai aktif ketika ini dalam menyebarkan fahaman militan untuk merekrut anggota baharu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Masir Kujat, berkata 240 individu ditahan berdasarkan hasil risikan, manakala 800 akaun Facebook disekat bagi mengekang penularan fahaman militan di negara ini.

"Berdasarkan penggunaan Twitter untuk merekrut anggota baharu militan, kita memantau 76 individu, lapan ditangkap dan menyekat sembilan akaun.

"Penggunaan Instagram pula, 72 individu dipantau, manakala yang ditangkap hanya seorang," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) di Dewan Rakyat, hari ini.

Shabudin menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna dunia siber yang terdedah dengan risiko penyebaran fahaman militan.

Menjawab soalan asalnya mengenai keberkesanan program deradikalisasi, Masir berkata, usaha itu masih dilaksanakan terhadap 19 tahanan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

"Program bagi membolehkan mereka kembali untuk hidup semula dalam kalangan masyarakat ini membabitkan 18 rakyat tempatan dan seorang warga asing.

"Daripada jumlah itu, sembilan tahanan peserta program ketika ini berada pada fasa keempat, iaitu tahap terakhir sebelum dibebaskan.

"Pelbagai usaha, termasuk persidangan serantau mengenai mekanisme program deradikalisasi dilaksanakan dalam meningkatkan keberkesanan modul deradikalisasi bekas anggota militan," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment