Thursday, 8 March 2018

Parlimen: Jualan Sentuhan Rakyat Kekang Orang Tengah


KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu Program Jualan Sentuhan Rakyat yang bermula sejak enam minggu lalu menarik kunjungan lebih 1.6 juta pengguna di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata program yang memanfaatkan rakyat itu mengatasi pembabitan orang tengah yang mengaut untung daripada manipulasi dan monopoli harga.

Beliau berkata, program itu berjaya mewujudkan persaingan harga antara peniaga yang menguntungkan rakyat kerana berupaya membeli barangan pada harga lebih rendah.

"Kejayaan program Jualan Sentuhan Rakyat ini menyebabkan ada pihak termasuk pembangkang yang mahu mengikut program yang kita lakukan," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah berkata, mekanisme penetapan harga runcit petrol dan diesel secara mingguan juga menyebabkan pemilik restoran serta kedai makan tidak boleh lagi menaikkan harga jualan makanan secara sebarangan.

Menjawab soalan tambahan G Manivannan (PKR-Kapar), beliau berkata, harga barangan di negara ini jauh lebih murah berbanding negara ASEAN lain susulan pelbagai langkah kerajaan menangani kos sara hidup.

Hamzah berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perkapita Malaysia menduduki tempat ketiga selepas Singapura (AS$52,962) dan Brunei.

Katanya, harga barangan di negara ini jauh lebih rendah berbanding Singapura yang 70 peratus lebih tinggi, manakala Brunei 71 peratus lebih tinggi, Thailand (23 peratus lebih tinggi/ KDNK perkapita AS$6,000).

Harga barangan di Indonesia juga 43 peratus lebih tinggi, manakala Filipina (76 peratus), Laos (59 peratus), Vietnam (41 peratus), Myanmar (32 peratus ) dan Kemboja (76 peratus). - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment