KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Corak pemikiran pengundi muda yang kompetitif menjadi pembakar semangat Pemuda UMNO untuk terus mendekati, memahami dan membantu mengatasi permasalahan mereka, kata Ketuanya Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata sebab itu manifesto Pemuda UMNO bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan dilancarkan pada 10 April ini memberi penekanan terhadap keperluan golongan muda termasuk soal perumahan dan peluang perkerjaan.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata Pemuda UMNO selama ini mengambil pelbagai pendekatan dalam menggempur dan menawan hati golongan muda termasuk mendekati dan memahami permasalahan yang dihadapi mereka.
“Pengundi muda ni sangat kompetatif… saya akui pengundi muda ini bukan semua yang sokong BN (Barisan Nasional) dan bukan semua yang sokong pakatan (pembangkang). Sebab itu kami kena kerja kuat.., jangan alpa dan jangan ambil mudah (keperluan orang muda),” katanya.
Khairy yang juga pengerusi Pemuda BN berkata demikian kepada pemberita selapas Pelancaran Briged Gempur 2314 Pemuda BN Terengganu yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman. Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Terengganu Mohd Johari Abu Bakar.
Katanya beliau akan turun padang ke seluruh negara untuk mendapatkan sokongan golongan muda terhadap BN bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada parti komponen itu pada PRU14.
Dalam usaha menjejak orang muda, Khairy berkata jentera Pemuda dengan kerjasama Wanita dan Puteri UMNO telah bergerak ke masjid, rumah ke rumah dan kedai kopi.
Katanya mengikut rekod, di Terengganu daripada 669,546 pemilih, seramai 196,535 pemilih terdiri daripada lelaki Melayu muda dan sehingga kini Pemuda UMNO Terengganu telah berjaya menjejak seramai 74,179 pengundi ‘putih’.
“Dalam manifesto yang akan kita umumkan nanti… kita akan pastikan kita akan bina perumahan transit di Kuala Terengganu, di kawasan bandar besar dan pinggiran bandar untuk beri keselesaan pada orang muda.
“Ia berbeza dengan (manifesto) pembangkang yang memberi isu yang tidak relevan… isu yang basi. Kita (manifesto Pemuda UMNO) memberi harapan lima tahun akan datang, harapan mereka (orang muda) 30 tahun akan datang (Transformasi Nasional 2050),” tegasnya yang turut menyatakan manifesto yang bakal dibentang adalah ‘hebat’.
Sementara itu, Ahmad Razif yang juga pengerusi BN Terengganu berkata berikutan hampir 50 peratus pemilih berdaftar di Terengganu adalah golongan muda, BN negeri turut mencadangkan calon orang muda kepada pucuk pimpinan untuk dipilih bertanding pada PRU14. - Bernama
0 comments:
Post a Comment