Friday 30 March 2018

Pemuda UMNO Cabar Azmin, Guan Eng Berdebat


KUALA LUMPUR 30 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berdebat mengenai isu perumahan yang gagal diselesaikan di kedua-dua negeri pimpinan Pakatan Harapan diketuai DAP itu.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan (HELP) Pemuda UMNO, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin berkata, isu sembilan projek perumahan mampu milik yang dibatalkan oleh kerajaan PKR Selangor dan perumahan gagal dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang itu masih menjadi isu yang perlu diselesaikan.

Katanya, kedua-dua pe­mim­pin kerajaan negeri ber­­kenaan sering memu­tarbelitkan isu perumahan itu dengan menyalahkan Kerajaan Persekutuan.

“Pemuda UMNO sangat kecewa dengan isu ini yang seolah-olah dipermainkan oleh kepemimpinan kedua-dua ke­rajaan negeri itu sekali gus menyebabkan harapan anak-anak muda yang berpendapatan rendah musnah untuk memiliki kediaman sendiri.

“Oleh demikian, Pemuda UMNO bertegas mencabar un­tuk berdebat dalam isu peru­mahan dengan kedua-dua pe­mimpin tertinggi negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan PKR Selangor membuat keputusan mengejut apabila membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku dengan memberikan alasan kegagalan pemaju mendapatkan kebenaran me­rancang sebagai punca tindakan tersebut terpaksa dibuat manakala kerajaan DAP Pulau Pinang pula gagal membina rumah mampu milik di negeri itu.

Mengulas lanjut, Nazir Hussin berkata, beliau sendiri akan menjadi wakil Pemuda UMNO dan mencabar Mohamed Azmin serta Guan Eng berani menyahut cabaran dalam perdebatan tersebut.

Jelas beliau kedua-dua pe­mimpin itu gagal membina ru­mah yang telah dijanjikan dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

“Perdebatan ini bertujuan untuk menegakkan keadilan dan memastikan hak orang muda di Selangor dan Pulau Pinang terjamin.

“Tidak perlu menteri-menteri Kabinet yang hadir berdebat kerana kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah berjaya melaksanakan semua janji sebelum ini,” katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment