Wednesday 28 March 2018

Pemuda UMNO Gesa Invoke Disiasat


PUTRAJAYA: Pihak berkuasa diminta segera menyiasat organisasi Invoke Malaysia, pusat kaji selidik propembangkang yang diterajui Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang didakwa menceroboh lebih 17 juta data peribadi rakyat negara ini.

EXCO Pemuda UMNO, Ibdillah Ishak, membuat laporan berasingan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.

Ibdillah berkata, pihaknya berbuat demikian bagi menggesa satu siasatan dijalankan segera terhadap pusat kaji selidik itu kerana disyaki wujud elemen meragukan mengenai kaedah digunakan dalam menghasilkan laporan pola pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, Invoke Malaysia yang diterajui Rafizi yang juga Naib Presiden PKR dipersoal sama ada mereka mendapatkan data peribadi itu secara sah atau sebaliknya kerana menerusi kaji selidik itu, mereka dikatakan berjaya menghubungi lebih 17 juta rakyat Malaysia.

"Persoalannya, adakah Invoke (Malaysia) memperoleh data peribadi rakyat Malaysia ini secara sah? Ataupun adakah Invoke terbabit dalam mencuri data peribadi berjuta-juta rakyat Malaysia? Siapakah sumber yang memberi data ini kepada mereka?

"Adakah Invoke mendapat kebenaran daripada JPDP untuk menyimpan, seterusnya menggunakan data ini? Malah maklum balas JPDP memaklumkan bahawa mereka tidak pernah berkongsi data dengan Invoke.

"Sehubungan itu, Pemuda UMNO menggesa polis dan JPDP menyiasat dakwaan pencerobohan ini dengan segera," katanya ketika ditemui selepas membuat aduan di luar IPD Putrajaya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Rafizi dilaporkan berkata hasil kajian Invoke Malaysia kononnya Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi PRU-14 di lima negeri termasuk Kedah, Perak dan Johor selain mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang.

Hasil kaji selidik itu turut mendapati PAS gagal memenangi kerusi Parlimen pada PRU-14, selain Kelantan akan dimenangi BN.

Ibdilillah berkata, pihaknya khuatir Invoke mempunyai agenda tertentu terutama untuk mengeluarkan keputusan palsu PRU-14 lebih awal daripada keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Tujuan mereka melakukan itu adalah untuk mengelirukan rakyat untuk tidak menerima keputusan rasmi sekiranya keputusan PRU tidak berpihak kepada pembangkang.

"Kami bimbang sekiranya wujud suasana ketidaktenteraman awam dan ketidakstabilan politik hasil daripada dakyah dilakukan mereka ini," katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment