Friday 9 March 2018

Pemuda UMNO Negeri Buat Laporan Polis Terhadap Guan Eng


PULAU PINANG 9 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO negeri membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menuduh parti itu menerima rasuah dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Naib Ketuanya, Jasmin Noordin berkata, pihaknya kesal kerana Guan Eng pada 28 Februari lalu telah mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab iaitu "UMNO yang rasuah, DAP yang kena".

Jasmin berkata, pihak berkuasa perlu memanggil Setiausaha Agung DAP yang masih belum disahkan itu untuk memberi keterangan.

"Kalau beliau (Guan Eng) seorang lelaki, sila beri maklum balas kepada tindakan kami. Bagi Pemuda UMNO negeri, apa yang beliau ucapkan dalam sidang akhbar itu biadap dan perlu membuat permohonan maaf kepada UMNO dan pemimpin yang dituduh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Pada masa sama, Jasmin berkata, pihak berkuasa perlu bertindak kerana Guan Eng turut mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan kes penyelewengan projek terowong dasar laut yang mahu dilaksanakan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

"Beliau tidak mempunyai kekebalan dan harus dipanggil untuk memberi keterangan.

"Pada pendapat kami, tindakan beliau menuduh UMNO merupakan sandiwara politik kerana ketika ini pelbagai isu membelenggu pentadbiran kerajaan negeri," katanya. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment