Monday 19 March 2018

Permatang Pauh 'Rugi' Lebih RM100 Juta


PERMATANG PAUH - Penduduk Parlimen ini ‘kerugian’ lebih RM100 juta dalam tempoh hampir dua dekad kerana tidak menerima peruntukan secara terus daripada Kerajaan Persekutuan untuk projek pembangunan.

Pengerusi Majlis Tindakan Per­se­kutuan negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kerugian itu disebabkan peruntukan itu ti­dak dapat disalurkan secara terus ke kawasan ini yang dikuasai PKR sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

Zainal Abidin yang juga Pe­nge­rusi Ba­dan Perhubungan U­MNO ne­geri berkata, ‘kerugian’ itu juga di­dorong oleh tindakan sebahagian penduduk di sini yang enggan berubah kerana masih terbuai dek nostalgia atau cerita lama yang dimainkan pemimpin terdahulu.

Situasi itu, katanya menyebabkan, pembangunan di kawasan tersebut ‘perlahan’ berbanding kawasan Parlimen lain di bawah Barisan Nasional (BN).

“Jika setahun peruntukan untuk setiap Parlimen ialah RM6 juta, ba­yangkan Permatang Pauh yang sudah hampir 20 tahun tidak berada di bawah BN, pastinya penduduk di kawasan ini alami kerugian besar.

“Dalam hal ini, sudah berapa banyak kita rugi? Justeru, Permatang Pauh perlu ada Ahli Parlimen BN yang menerima peruntukan terus daripada Kerajaan Persekutuan selepas ini bagi memudahkan kita menyalurkan bantuan kepada rakyat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) untuk kawasan Apartmen Permata Blok O-T, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan negeri, Datuk Syed Shaari Syed Abdullah dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Lebih RM1 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf atau membaik pulih Apartmen Permata di bawah TP1M antara 2015 hingga 2017.

Antara projek yang dijalankan ter­masuk mengecat bangunan, mem­baiki tangki air dan bumbung serta membuat kerja-kerja pen­dawaian semula elektrik di ka­wasan dan tempat letak kenderaan.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, sejak lima tahun lepas, sebanyak 72 projek TP1M dilaksanakan di negeri ini dengan anggaran kos RM27.18 juta.

Katanya, jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk peruntukan yang disediakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM18.95 juta untuk lebih 300 projek berkaitan infrastruktur awam seperti membaik pulih gerai dan membina longkang di negeri ini. - Utusan Online

0 comments:

Post a Comment