Monday 26 March 2018

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 Dibentang Di Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR, 26 Mac – Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018, bertujuan mengekang penyebaran berita tidak benar dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan, dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ia dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Ronald Kiandee.

Menurut RUU tersebut, akta yang dicadangkan itu juga untuk melindungi orang awam daripada penyebaran cepat berita tidak benar dan pada masa yang sama memastikan hak kebebasan bercakap dan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan dihormati.

Ia mentafsirkan berita tidak benar sebagai apa-apa jenis penerbitan berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagian atau keseluruhannya, dalam apa-apa bentuk termasuk rencana, visual atau rakaman audio, adalah palsu.

“Dengan berkembangnya teknologi selaras dengan peredaran masa, penyebaran berita tidak benar menjadi kebimbangan global dan semakin serius sehingga menyentuh orang awam.

“Melalui Akta yang dicadangkan adalah diharapkan agar orang awam menjadi lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam berkongsi berita dan maklumat,” menurut rang undang-undang itu.

Antara peruntukan penting yang dicadangkan RUU itu ialah Akta itu apabila dikuatkuasakan boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak sama ada warganegara atau warga asing yang melakukan kesalahan berita tidak benar terhadap Malaysia atau warganegara Malaysia, di luar Malaysia, seolah-olah ia telah dlakukan di dalam Malaysia.

Menurut RUU tersebut, individu yang disabit kesalahan di bawah Akta itu boleh didenda sehingga RM500,000 ataupun penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya sehingga RM3,000 setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Selain hukuman, mahkamah juga boleh memerintah pesalah memohon maaf kepada pihak yang terlibat secara terbuka di mahkamah ataupun melalui akhbar.

RUU baharu itu juga memperuntukkan tindakan undang-undang ke atas individu yang menyediakan bantuan kewangan kepada pihak yang melakukan perlakuan menghasil dan menyebarkan berita tidak benar.

Jika disabit, pemberi dana turut boleh didenda sehingga RM500,000 ataupun penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, ia juga membenarkan mahkamah memerintah mana-mana pihak terlibat untuk menghapus penerbitan yang mengandungi berita tidak benar, dan mereka yang ingkar boleh didenda sehingga RM100,000 manakala denda RM3,000 tiap-tiap hari akan dikenakan selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

RUU ini tidak akan melibatkan perbelanjaan tambahan oleh kerajaan.

Bacaan kedua RUU Antiberita Tidak Benar 2018 telah dijadual dibentang pada sidang kali ini yang akan tamat pada 5 April nanti. - Bernama

0 comments:

Post a Comment