Friday 2 March 2018

Semak Kesahihan Dan Lapor Berita Palsu Di Portal Sebenarnya.My


KUALA LUMPUR, 2 Mac – “Dari group sebelah. Tapi tak pasti betul atau tidak,” itu antara bentuk penyebaran mesej yang biasa diterima oleh pengguna media sosial menerusi aplikasi Whatsapp.

Penghantar mesej seperti lepas tangan membiarkan pihak yang menerima berfikir sendiri kebenaran maklumat yang dihantarnya. Sedangkan sudah terang lagi bersuluh, berita yang disebarkan itu belum tentu kesahihannya. Tetapi tanpa sempat berfikir, tangan lebih pantas menyebarkannya sehingga tular dan membawa mudarat kepada pihak lain.

Kegagalan pengguna menganalisis dan mengesahkan maklumat yang diterima adalah satu perkara serius yang dianggap sebagai masalah negara kerana ia sering menggugat keharmonian. Bukan hanya di Malaysia, tetapi turut menjadi masalah di seluruh dunia yang masyarakatnya aktif menggunakan media.

SEMAK KESAHIHAN DI ‘SEBENARNYA.MY’

Persoalannya bukan semua pengguna kurang pengetahuan tetapi lebih ramai yang tahu tetapi tidak bertanggungjawab ketika menggunakan pelbagai platform media termasuk media sosial seperti Facebook, blog, Instagram dan Whatsapp.

Akibatnya, penularan berita palsu dan fitnah berleluasa sehingga saban hari pengguna media sosial dibanjiri dengan pelbagai mesej berantai, berita palsu dan fitnah.

Bagi menangani penularan berita palsu di Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membangunkan portal ‘sebenarnya,my’.

Portal yang dilancarkan pada Mac 2017 itu dianggap dapat membantu orang ramai mendapatkan maklumat yang benar dan dibangunkan sebagai pusat sehenti dan arkib bagi mereka menyemak dan menyalurkan maklumat yang diterima dalam talian.

Inisiatif MCMC dalam mendidik masyarakat mengesahkan sesuatu berita melalui portal sebenarnya.my mendapat respons positif apabila menerima 1,577 maklumat daripada orang awam bagi tujuan verifikasi.

Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan MCMC, Eneng Faridah Iskandar berkata, sejak dilancarkan, portal sebenarnya.my menerima sekurang-kurangnya enam maklumat sehari daripada orang awam yang meragui sumber dan kesahihan sesuatu berita.

“Fungsi portal ini tidak hanya sebagai pusat sehenti bagi masyarakat menyemak kesahihan sesuatu maklumat yang diterima dalam talian seperti media sosial, sistem mesej dan lain-lain tetapi mereka juga boleh menyalurkan sebarang informasi yang dirasakan tidak benar kepada MCMC,” katanya ketika ditemui di jelajah sebenarnya.my di Dewan Keda Relau, Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.

Eneng Faridah berkata, orang ramai digalakkan menyalurkan berita yang diragui ke portal ini untuk membolehkan MCMC menyampaikannya kepada agensi-agensi yang berkaitan untuk ditentusahkan

Bagi tempoh 2015 sehingga 2017, MCMC telah menerima sejumlah 235 aduan awam terdiri daripada pelbagai pihak dan individu yang berbeza latar belakang dan umur berkenaan kandungan dan berita palsu .

Sejumlah 101 kertas siasatan telah dibuka oleh MCMC dan daripada jumlah tersebut, enam kes telah dihadapkan ke mahkamah.

Pada masa yang sama, sekatan ke atas 79 laman sesawang, portal dan blog yang menyebarkan kandungan berita palsu telah dilaksanakan.

“Apabila masyarakat menerima sesuatu berita tular, mereka perlulah menyemak terlebih dahulu di portal sebenarnya.my dan sekiranya didapati maklumat itu tiada di portal, maka orang ramai boleh berkongsi maklumat itu dengan MCMC supaya pengesahan boleh dijalankan,” katanya.

PENJELASAN DARIPADA INSTITUSI SEBENAR

Menurut Eneng Faridah, terdapat trend penularan semula berita walaupun penjelasan telah diberikan sebelum ini.

“Kadang-kala berita itu telah basi, namun kembali tular dan sekiranya orang ramai melaporkan kepada MCMC, kami akan mengemas kini mengikut tarikh baru tular di portal sebenarnya.my berserta penjelasan,” katanya.

Eneng Faridah berkata tiada sebarang tindakan akan diambil kepada pemberi maklumat.

Sehingga kini MCMC telah bekerjasama dengan 22 kementerian dan lebih 100 badan agensi kerajaan bagi proses pengesahan maklumat.

Bagi proses tersebut, satu jawatankuasa khas telah diwujudkan untuk menyampaikan berita yang tular kepada agensi yang berkaitan bagi mendapatkan penjelasan situasi sebenar. Jawatankuasa tersebut yang dikenali sebagai Jawatankuasa Operasi Pengurusan Berita yang Tidak Ditentusahkan dalam Talian (OWG-UNO) .

“Penjelasan atau penafian maklumat dibuat dengan terlebih dahulu merujuk kepada sumber-sumber seperti kenyataan media, kenyataan di laman sesawang rasmi kementerian, jabatan atau agensi terlibat mahupun kenyataan yang disiarkan dalam laman sosial seperti Facebook dan Twitter,” kata beliau.

Menurutnya, jawatankuasa ini dilihat berkesan dalam memberi pengesahan sesuatu isu disebabkan pemahaman dalam bidang kuasa masing-masing.

“Contohnya isu makanan, ia berkait rapat dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, dan orang ramai tidak perlu tercari-cari di mana mereka boleh mendapatkan pengesahan kerana semuanya diuruskan oleh jawatankuasa,” kata Eneng Faridah.

Sesetengah isu yang melibatkan pelbagai agensi, kata beliau, mungkin akan mengambil sedikit masa bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi sebenar, namun tempoh 24 jam diberikan kepada agensi untuk memberi maklum balas.

Walaupun kesedaran masyarakat terhadap kesan berita palsu semakin meningkat, masih terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan untuk mensensasikan sesuatu isu, katanya.

“Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kejadian kebakaran bangunan KWSP (Kumpulan Wang SImpanan Pekerja) dan pelbagai spekulasi tersebar dengan cepat di media sosial serta Whatsapp.

“Namun, MCMC mendapati kebanyakan kes dikendalikan dengan baik oleh agensi apabila mereka cepat memberi kenyataan masing-masing bagi menangkis sebarang tuduhan tidak berasas,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai supaya melanggan portal sebenarnya.my dengan menggunakan emel bagi menerima notifikasi supaya tidak terlepas dengan sebarang maklumat yang dikemas kini di portal itu.

SIRI JELAJAH DIDIK MASYARAKAT

Selain pendidikan menerusi portal, MCMC kini giat menjalankan aktiviti pendidikan masyarakat mengenai berita palsu melalui siri-siri jelajah yang dijalankan di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, dan Sumber Tenaga Manusia Negeri Kedah Datuk Noor Sabrina Mohd Noor menyambut baik usaha MCMC dalam mendidik masyarakat memerangi berita palsu.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Jelajah Sebenarnya.my, berpendapat jelajah karnival itu berperanan untuk memberi penjelasan fungsi portal sebagai tempat rujukan isu-isu tempatan dan mampu menjangkau ramai komuniti setempat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pelbagai acara diadakan bersempena Karnival Sebenarnya.my di Bandar Baharu termasuk aktiviti senam aerobik, ceramah perdana oleh penceramah bebas Datuk Kazim Elias dan Bicara Ilmu ‘Berita Palsu Musuh Negara’, yang memberi penerangan mengenai portal Sebenarnya.my termasuk cara membuat aduan berita palsu.

Karnival sehari yang berlangsung di perkarangan Dewan Keda Relau itu berjaya menarik lebih 2,000 penduduk sekitar. - Bernama

0 comments:

Post a Comment