Friday 2 March 2018

Sembilan Tahun Kerajaan Pakatan Permainkan Janji, Gagal Sediakan Rumah Mampu Milik – Najib


PUTRAJAYA, 2 Mac – Walaupun selepas sembilan tahun mentadbir, kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (setelah berkuburnya Pakatan Rakyat) masih gagal menunaikan janji-janji mereka terutamanya pemilikan kediaman mampu milik kepada rakyat mereka.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, ini dibuktikan lagi dengan tindakan kerajaan negeri Selangor yang menafikan kebajikan rakyatnya sendiri apabila membatalkan sembilan projek rumah mampu milik.

“Manakala di Pulau Pinang walaupun selepas sembilan tahun, kerajaan negeri masih gagal menyerahkan kunci rumah mampu milik kepada rakyat.”

Inilah yang membezakan antara kerajaan pakatan pembangkang dengan kerajaan Persekutuan yang sentiasa menunaikan janji di dalam menyediakan keperluan asas rakyat, ujarnya lagi.

Tambahnya sebagaimana dalam ucapannya di blog NajibRazak.com, kerajaan Barisan Nasional (BN) amat serius memahami keperluan rakyat dengan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion khusus untuk sektor pemilikan rumah mampu milik.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6 bilion supaya rakyat dapat memiliki rumah PPR dengan harga RM35,000 di Semenanjung dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak.

“Sebanyak RM80,000 sehingga RM120,000 subsidi telah disalurkan Kerajaan untuk setiap unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Projek rumah mampu milik ini merupakan salah satu kejayaan terbesar Kerajaan kerana berjaya menyiapkan 83,759 unit rumah melalui 120 projek PPR untuk golongan yang memerlukan,” katanya.

Terdapat banyak projek PPR yang permohonannya bakal dibuka seperi PPR Kepong, PPR Mukim Naga di Kubang Pasu, PPR Kota Bharu di Kelantan dan PPR Kampung Tok Suboh di Pulau Pinang.

Sementara PPR Machang di Kelantan sudah dibuka untuk permohonan.

Justeru beliau berkata, Kerajaan amat menggalakkan rakyat memohon untuk mendapatkan rumah mampu milik kerana Kerajaan amat memahami yang perumahan mampu milik juga adalah hak rakyat.

“Semua projek unit perumahan ini walaupun dijual dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran, namun kualitinya menyamai rumah yang dibina oleh pemaju swasta.

“Untuk rumah bertingkat, setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur untuk keselesaan ahli keluarga tersayang,” ujarnya.

Untuk rekod, hasil pemantau Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri mendapati kerajaan BN telah mengotakan 97.6 peratus daripada kandungan manifesto yang dibentangkan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Manakala, pimpinan kerajaan pakatan negeri Selangor pula pernah mengatakan manifesto bukan janji. – Media UMNO

0 comments:

Post a Comment