Thursday, 8 March 2018

SPR 100 Peratus Sedia Hadapi PRU14


KUALA LUMPUR - Kesiapsiagaan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara kini berada di tahap 100 peratus bagi memastikan kelancaran perjalanan proses PRU14 tidak lama lagi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, kesiapsiagaan itu melibatkan tenaga kerja dan logistik kelengkapan diperlukan, selain diperkuatkan dengan latihan, kursus dan penerangan jelas  mengenai tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Sebenarnya, persiapan kita untuk adakan PRU ini telah dilakukan sejak dua tahun lalu.

"Kita telah persiapkan petugas-petugas di tempat mengundi dan pengiraan undi di seluruh negara,” katanya kepada Bernama sewaktu menjadi tetamu Program Ruang Bicara, Bernama News Channel, malam ini.

Beliau berkata, dijangkakan 250,000 petugas melibatkan SPR dan anggota keselamatan serta pertahanan negara akan terlibat pada PRU kali ini.

Menurutnya, pihaknya juga telah bersiap siaga dari segi kelengkapan untuk PRU14 termasuk dari segi kemudahan lebih selesa kepada orang kurang upaya (OKU) seperti memberi bantuan ke tempat mengundi, kemudahan kerusi roda bagi pemilih uzur atau kurang upaya.

Menyentuh mengenai bekalan dakwat kekal, beliau berkata, ia telah ditempah awal dan hanya menunggu detik PRU14 sebelum dihantar pembekal untuk digunakan.

Mengulas mengenai kempen pilihan raya, Mohd Hashim berkata, 11 hari adalah waktu minimum untuk berkempen dan pihaknya akan mengkaji kepentingan sama ada ia perlu dilanjutkan.

Mohd Hashim juga optimis, pihaknya akan dapat mengendalikan perjalanan PRU dengan cara terbaik,  telus, ikhlas dan bersih mengikut peraturan undang-undang yang ditetapkan.

Beliau menegaskan, SPR adalah institusi bebas dan tidak menerima arahan daripada mana-mana pihak. - Bernama

0 comments:

Post a comment