Sunday 4 March 2018

Syarikat Pemaju Tarik Balik Tuduhan Kaitkan Azeez Dengan Projek Terowong


GEORGE TOWN, 4 Mac – Syarikat pemaju projek terowong dasar laut di negeri ini, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, telah menarik balik notis tuntutan yang mendakwa anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bersubahat dengan seorang individu bagi memperoleh  RM3 juta berkaitan projek mega itu.

Pada sidang media di sini hari ini, Abdul Azeez berkata pihaknya telah menerima surat daripada pejabat peguam yang mewakili syarikat itu semalam yang menyatakan mereka menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.

“Consortium Zenith Construction Sdn Bhd melalui peguamnya meminta maaf kepada saya atas kesilapan ini. Mereka juga menyatakan dalam surat ini bahawa saya disahkan adalah mangsa penjualan nama dan mereka juga menyatakan bahawa mereka akan bantu saya dalam apa jua keadaan untuk membersihkan nama saya,” katanya.

Pada 27 Feb lepas, anggota Parlimen Baling itu mendapat surat tuntutan daripada firma guaman yang mewakili syarikat itu yang mendakwa beliau bersubahat dengan seorang individu bergelar ‘Datuk’ bagi memperoleh RM3 juta berkaitan projek tersebut.

Susulan itu, Abdul Azeez membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 2 Mac lepas bagi menggesa satu siasatan dibuat terhadap pihak yang didakwa menyalahgunakan namanya dalam isu pembinaan projek terowong dasar laut.

Abdul Azeez yang juga Pengerusi Tabung Haji berkata dengan penerimaan surat terbaru itu, jelas menunjukkan beliau tidak mempunyai kaitan dengan projek berkenaan dan meminta pihak yang tidak bertanggungjawab untuk berhenti menyebarkan fitnah terhadapnya termasuk Tabung Haji dan UMNO.

“Saya dah bagi arahan sekeras-kerasnya kepada peguam saya untuk meneliti siapakah dalang-dalangnya (yang menyebarkan fitnah). Saya juga mendapat banyak viral berkaitan diri saya dan ramai pemimpin pembangkang yang menuduh UMNO dan Tabung Haji.

“Jadi, pertama sekali saya nak jaga nama Tabung Haji, kedua sebagai Ahli Parlimen Baling, ketiga institusi parti keramat UMNO dan keluarga saya. Saya tahu ini nak dekat pilihan raya. Mereka lakukan ini semua bertujuan untuk pembunuhan karakter bagi menjatuhkan parti keramat UMNO,” katanya.

Katanya beliau akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan seterusnya sama ada menarik balik laporan polis yang dibuat atau mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menyebarkan fitnah itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. - Bernama

0 comments:

Post a Comment